Kes mahkamah, KP Laut diarah cuti, kata Loke

Kes mahkamah, KP Laut diarah cuti, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata Halim Ahmed tidak akan melapor diri untuk bertugas sehingga kes dihadapinya selesai.

Loke Siew Foo
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata Ketua Pengarah Laut Halim Ahmed diminta bercuti dan mengosongkan pejabatnya.
GOMBAK:
Ketua Pengarah Laut Halim Ahmed diminta bercuti mengambil kira prosiding undang-undang terhadapnya selepas dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, minggu lalu, kerana memperdaya.

Sambil berpegang kepada prinsip ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata protokol perkhidmatan awam mengkehendaki beliau mengosongkan pejabat sementara.

“Sementara kesnya berlangsung di mahkamah, beliau tidak akan laporkan diri untuk bertugas,” katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan bas pelancong di stesen Jabatan Pengangkutan Jalan sepanjang Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur.

Loke berkata demikian mengulas sama ada Halim digantung tugas selepas minta dibicarakan minggu lalu kerana memperdaya pendahulunya, empat tahun lalu.

Halim, pada ketika itu setiausaha di Bahagian Maritim Kementerian Pengangkutan, didakwa memperdaya ketua pengarah laut ketika itu, Baharin Abdul Hamid dengan mengeluarkan surat dikatakan daripada Kementerian Pengangkutan.

Surat bertarikh 27 Okt 2020 itu didakwa menyatakan menteri pengangkutan ketika itu memutuskan tempoh syarikat perkapalan yang diberikan pengecualian menghantar minyak gred berat di perairan Malaysia perlu dikekalkan mengikut tarikh diluluskan.

Insiden itu didakwa berlaku di ibu pejabat Jabatan Laut di Pelabuhan Klang pada 27 Okt 2020.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.