Pemimpin BN gesa Kelantan jawab dakwaan lulus teroka 33,000 ekar hutan di Gua Musang

Pemimpin BN gesa Kelantan jawab dakwaan lulus teroka 33,000 ekar hutan di Gua Musang

Mohd Syahbuddin Hashim berkata dakwaan itu bertentangan dengan dasar kerajaan negeri yang membekukan lesen penerokaan hutan.

Mohd Syahbuddin Hashim menunjukkan dokumen seperti pendaftaran syarikat yang didakwa diberi kelulusan penerokaan hutan di Gua Musang pada sidang media hari ini.
GUA MUSANG:
Barisan Nasional (BN) mendesak kerajaan Kelantan menjawab dakwaan kelulusan baharu penerokaan hutan seluas 33,000 ekar di sini kepada 54 syarikat dalam tempoh dua tahun dari 2022.

Bercakap pada sidang media, Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri BN Mohd Syahbuddin Hashim berkata dakwaan itu bertentangan dengan dasar kerajaan diterajui PAS yang sebelum ini membekukan kelulusan baharu penerokaan hutan.

Beliau yang juga Adun Galas berkata bagaimanapun semakan mereka menerusi permohonan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar mengesan ada 54 kelulusan baharu diberi kerajaan negeri.

“Kelulusan diberi atas pelbagai tujuan seperti ladang hutan, pengayaan hutan dan lombong di Gua Musang yang kebanyakannya di kawasan Ulu Nenggiri dari 2022 hingga tahun ini,” dakwanya yang juga ketua pembangkang DUN Kelantan.

“Di saat PAS Kelantan atau kerajaan negeri mencanang mereka sebuah kerajaan telus dan adil, rakyat di bawah terutama di Nenggiri bergelut sekian lama mendapat geran milik tanah.”

Mohd Syahbuddin mendakwa semakan juga mendapati pemberian konsesi ‘secara senyap-senyap’ itu menimbulkan persoalan kerana diperoleh syarikat bukan Bumiputera dari luar Kelantan yang belum cukup setahun diwujudkan.

“Apakah alasan sebenar membolehkan syarikat itu dapat projek ladang hutan ketika rakyat biasa terpaksa naik turn pejabat tanah untuk dapatkan sebidang tanah bagi kediaman.

“Kepimpinan kerajaan Kelantan boleh jawab melalui ceramah-ceramah kepada rakyat mengenai persoalan ini,” katanya sambil mendakwa penduduk Nenggiri terpaksa menanggung kesan kemusnahan alam sekitar sejak 34 tahun lalu.

Beliau turut membidas kerajaan Kelantan kerana sering ‘menganaktirikan’ kebajikan rakyat Gua Musang termasuk membabitkan isu rumah mampu milik sedangkan kawasan itu dijadikan tempat mengutip hasil negeri.

FMT telah menghubungi Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohamed Fadzli Hassan yang memegang portfolio sumber asli untuk mendapat maklum balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.