Malaysia berupaya bangun sendiri platform media sosial, kata persatuan

Malaysia berupaya bangun sendiri platform media sosial, kata persatuan

Persatuan Pengguna Siber Malaysia senada dengan kerajaan yang berhasrat untuk meneliti cadangan mewujudkan aplikasi media sosial khusus untuk rakyat Malaysia.

social media
Kewujudan platform media sosial khas untuk rakyat Malaysia memudahkan kerajaan memantau kandungan terutama membabitkan kes jenayah siber, kata Persatuan Pengguna Siber Malaysia.
PETALING JAYA:
Malaysia mempunyai keupayaan mencipta sendiri platform media sosial kerana negara ini antara yang dipercayai sebagai pusat data di rantau Asean.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, berkata pihaknya bersetuju dengan langkah untuk memulakan usaha membangunkan platform itu seperti aplikasi TikTok dan Facebook yang digunakan secara meluas ketika ini.

“Dengan adanya platform media sosial sendiri, lebih mudah untuk melakukan sekatan. Proses pemantauan lebih mudah, berikutan platform tersebut milik tempatan.

“Sekarang ini, jika ingin disekat, ada banyak lagi pilihan lain.

“Mungkin kerajaan boleh melantik Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi atau agensi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) atau jentera kerajaan mula meletakkan batu pemula membentuk platform media sosial tempatan,” katanya.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata kerajaan akan meneliti cadangan untuk mewujudkan aplikasi media sosial yang khusus untuk kegunaan rakyat Malaysia seperti yang sedang diusahakan oleh beberapa negara.

Beliau menjelaskan, ia kerana antara penyedia aplikasi media sosial didapati mengaut keuntungan daripada rakyat di negara ini, namun dalam masa yang sama gagal menjamin soal keselamatan penggunanya.

Menurutnya, ia juga susulan tindakan Meta Platforms Inc (Meta) menurunkan hantaran berkaitan Palestin menerusi platform media sosial milik syarikat itu baru-baru ini.

Sementara itu, Siraj juga berkata kerajaan juga perlu bertindak lebih bijak terutama melibatkan isu salah laku dan jenayah siber yang semakin membarah ketika ini.

Katanya, tanpa kuasa yang jelas, sukar untuk kerajaan menangani sebarang isu apabila penyedia perkhidmatan cenderung mengambil mudah dan kurang menunjukkan sikap bertanggungjawab.

“Jenayah siber adalah jenayah pintar dan untuk menanganinya, kita perlu menjadi lebih bijak dan berkuasa. Jika kaedah kawalan kita lebih mudah untuk penjenayah, sebab itu ia seolah-olah tidak berkurangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.