Calon BN tak takut lawan main isu Umno, DAP di Nenggiri

Calon BN tak takut lawan main isu Umno, DAP di Nenggiri

Tetapi, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mengakui berdepan cabaran meyakinkan pengundi Melayu menerima kerjasama Umno dan DAP.

Calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (kiri) tidak menghalang mana-mana pemimpin Pakatan Harapan, termasuk DAP membantunya berkempen pada PRK Nenggiri.
GUA MUSANG:
Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani tidak takut lawan memainkan isu kerjasama Umno dan DAP sepanjang kempen PRK Nenggiri, tetapi mengakui berdepan cabaran meyakinkan pengundi Melayu menerima kerjasama dua parti itu.

“Isu kerjasama Umno dan DAP itu cabaran bagi saya dan saya kena meyakinkan pengundi di Nenggiri agar menerima saya, sebab pengundi di sini memilih wakil yang boleh laksana tanggungjawab dan saya rasa saya boleh laksana tanggungjawab itu, kalau diberi peluang.

“Bagi saya, kena fokus dapat seramai mana pengundi itu. Saya bukan tak peduli soal persepsi terhadap (DAP), tapi bagi saya, kalau fikir benda lain akan hilang fokus saya, sebab saya ada masa 14 hari saja untuk berkempen meyakinkan pengundi menerima saya,” katanya kepada FMT.

Beliau juga tidak menghalang mana-mana pemimpin Pakatan Harapan (PH), termasuk DAP ke Nenggiri membantunya berkempen.

“Ini negara demokrasi, tiada yang nak halang-halang, (mana-mana) pemimpin boleh datang bantu kempen.”

Ditanya sama ada pemimpin DAP perlu mengawal ucapan mereka ketika berkempen supaya tidak menyentuh sensitiviti orang Melayu, Azmawi berkata, rakan dalam kerajaan perpaduan itu lebih memahami kesesuaian percakapan mengikut kawasan majoriti pengundi.

“Saya rasa mereka (DAP) lebih faham keadaan di Nenggiri, di mana 87% pengundi Melayu. Saya rasa mereka lebih faham kita tak ada halangan (untuk pemimpin DAP) nak datang bantu kempen. Mana tahu ianya (kempen DAP) memberi kelebihan. Kita berusaha, selebihnya kita serah kepada Allah.”

Mengenai kelebihan berkempen kerana dibantu jentera pusat, katanya, setiap calon mempunyai kekuatan sendiri, termasuk calon Perikatan Nasional, Rizwadi Ismail yang dibantu jentera negeri.

Terdahulu, DAP dilaporkan sedia membantu kempen BN di PRK Nenggiri, jika ada permintaan daripada gabungan perpaduan, tetapi penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan berkata, tiada keperluan DAP berkempen pada PRK Nenggiri 17 Ogos ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.