17 pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditahan di Johor

17 pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditahan di Johor

Exco Johor, Mohd Fared Mohd Khaled, berkata mereka ditahan di Batu Pahat, Pontian, Muar dan Segamat Khamis lalu.

Mohd Fared Mohd Khalid
Exco Johor, Mohd Fared Mohd Khaled berkata 17 individu itu akan dihadapkan ke mahkamah esok. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa menahan 17 individu disyaki pengikut ajaran sesat Millah Abraham menerusi operasi serentak di Batu Pahat, Pontian, Muar dan Segamat Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khaled, berkata mereka ditahan dalam Ops Milab membabitkan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Cawangan Khas Bukit Aman serta IPK Johor.

Menurutnya, 17 individu itu akan dihadapkan ke mahkamah esok.

“Ajaran Millah Abraham difatwakan sesat di Johor pada 30 Julai 2015 dan diwartakan pada 28 April 2016 sebagai ajaran serta fahaman menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Kerajaan Johor memberi amaran dan akan mengambil tindakan tegas bagi membanteras dan mengekang sebarang penyebaran ajaran sesat berpandukan enakmen dan perundangan,” katanya dalam catatan Facebook.

Beliau meminta orang ramai tidak terpengaruh dengan ajaran menyimpang daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta melaporkan sebarang ajaran mencurigakan kepada pihak berkuasa.

JAINJ pada 17 Julai lalu dilapor mengesahkan menerima laporan polis berkaitan ajaran sesat Millah Abraham di Johor.

Antara fahaman salah ajaran itu ialah ahlinya percaya kewujudan nabi baharu dan syahadah berbeza serta sembelihan dibuat bukan ahli tidak sah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.