Umno Kota Raja tuntut kerusi, perlu bincang dengan PH, kata Zahid

Umno Kota Raja tuntut kerusi, perlu bincang dengan PH, kata Zahid

Presiden Umno itu berkata, perkara itu perlu dibincangkan secara berhemah dengan rakan-rakan PH, pentadbir utama Selangor.

Presiden Umno Zahid Hamidi berucap pada Mesyuarat Umno Kota Raja di Hotel Premiere Klang hari ini.
KLANG:
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyokong cadangan Ketua Bahagian Kota Raja Tengku Zafrul Abdul Aziz supaya salah satu daripada empat kerusi di kawasan itu diberikan kepada parti itu pada PRU16.

Zahid berkata, perkara tersebut perlu dibincangkan secara berhemah dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) yang menjadi pentadbir utama di Selangor.

“Namun kita berazam dengan bersefahaman yang disebut, kita harap Kota Raja ini, rakan-rakan (PH) akan melihat kebersamaan.

“Takkanlah daripada empat kerusi yang ada, satu pun tak boleh diberikan kepada kita,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Umno Kota Raja di Hotel Premiere Klang.

Terdahulu, Zafrul menerusi ucapannya menuntut salah satu kerusi, sama ada Parlimen Kota Raja atau mana-mana DUN bawahnya, iaitu Sentosa, Sungai Kandis atau Kota Kemuning diberikan kepada Umno.

“Kami Umno Kota Raja, ada satu hajat, atas semangat perpaduan depan kawan-kawan kita, depan PH, Umno semua ada di sini, saya nak sebut, daripada empat kerusi tu berilah peluang untuk Umno Kota Raja bertanding satu kerusi,” katanya.

Zafrul turut memberi jaminan, pihaknya akan melakukan yang terbaik jika kerusi diberikan kepada mereka, selain turut akan membantu kemenangan di kerusi-kerusi lain bawah Parlimen berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.