
Ketua Penerangan Ammar Atan, berkata tindakan itu memperlihatkan sikap hipokrit Wan Fayhsal yang sanggup menyeru memboikot perhimpunan solidariti menyokong Palestin itu hanya kerana perbezaan politik.
“Sebagai manusia yang berprinsip kemanusiaan dan memperjuangkan pembebasan Palestin adalah tidak wajar beliau bersikap tertutup dan bersifat asabiah dalam isu ini.
“Beliau seolah-olah merasakan hanya perjuangan beliau sahaja yang benar dan tindakan perjuangan pihak lain termasuk kerajaan adalah salah,” katanya menurut Bernama.
Beliau yang juga naib ketua Pemuda Amanah, berkata tidak perlu berhasad dalam hal melakukan kebaikan dan mengajak semua untuk bersama-sama menyertai perhimpunan itu.
“Ayuh bersama-sama dalam solidariti malam ini dan tinggalkan segala sengketa politik demi pembebasan Al-Quds Palestina,” katanya.
Dalam satu video tular di media sosial menerusi platform X, memaparkan Wan Fayhsal menyeru memboikot Himpunan Pembebasan Palestin malam ini, sebaliknya meminta orang ramai menyertai himpunan anjuran pertubuhan lain.
Himpunan Pembebasan Palestin yang berlangsung hari ini dijadual bermula 6 petang di Axiata Arena, Bukit Jalil bagi menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh, sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis yang tidak berkesudahan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan pidato pada acara kemuncak himpunan itu.