Program Anak Emas P Pinang-PTPTN terima sambutan baik

Program Anak Emas P Pinang-PTPTN terima sambutan baik

Exco Pulau Pinang Lim Siew Khim berkata 2,162 akaun telah dibuka atau dibuat penambahan simpanan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan jumlah RM216,200.

Exco Pulau Pinang Lim Siew Khim (dua dari kanan) merasmikan program Anak Emas kerjasama kerajaan negeri dan PTPTN di Bukit Mertajam, semalam. Turut hadir Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim (kanan), Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid (dua dari kiri) dan Adun Bagan Jermal Chee Yeeh Keen (kiri).
BUKIT MERTAJAM:
Kerjasama strategik antara kerajaan Pulau Pinang dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam melaksanakan Program Anak Emas melalui Simpan SSPN Prime mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat di negeri ini.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang Lim Siew Khim berkata ia dibuktikan apabila 2,162 akaun telah dibuka atau dibuat penambahan simpanan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan jumlah RM216,200.

Beliau berkata program yang diperkenalkan kerajaan negeri pada Jun 2011 itu merupakan bayaran bantuan secara one-off atau sekali bayar berjumlah RM200 kepada bayi berumur dua tahun ke bawah, dengan syarat ibu atau bapa kepada anak yang dilahirkan mestilah berdaftar dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pengundi di Pulau Pinang.

“Program Anak Emas pada tahun ini ditambah baik menerusi kerjasama dengan PTPTN yang berkuat kuasa pada 15 Jan lepas dengan RM100 diberikan untuk pembukaan akaun atau penambahan deposit akaun SSPN Prime, manakala RM100 lagi disalurkan kepada pemohon yang layak.

Lim Siew Kim (empat dari kanan) dan Norliza Abdul Rahim (tengah) bersama penerima sumbangan Program Anak Emas.

“Inisiatif baharu ini merupakan pendekatan yang lebih menyeluruh dan akan memberikan manfaat jangka panjang kepada anak-anak kelahiran Pulau Pinang terutama dalam aspek pendidikan tinggi,” katanya melancarkan Program Anak Emas semalam.

Lim berkata Program Anak Emas melalui Simpan SSPN Prime bukan sahaja membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang literasi kewangan, tetapi juga sebagai tanda penghargaan kepada penerima, selain menitikberatkan kepentingan penabungan dari awal usia.

Sementara itu, Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim yang turut hadir pada majlis pelancaran program itu berharap Simpan SSPN akan menjadi pilihan terbaik kepada ibu bapa kerana simpanan secara konsisten adalah penting untuk masa depan pendidikan yang terjamin.

Beliau berkata Simpan SSPN merupakan produk simpanan PTPTN yang menawarkan pelbagai manfaat antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan bagi simpanan hingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful terhadap pendeposit, Geran Sepadan secara percuma hingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, selain kadar dividen yang kompetitif di samping simpanan dijamin kerajaan serta patuh syariah.

“Justeru, saya menyeru kepada semua agensi awam dan swasta untuk menjadikan Simpan SSPN sebagai insentif atau hadiah bagi penganjuran aktiviti atau program yang bersesuaian,” katanya.

Menurut Norliza, sejak diperkenalkan pada 2004 hingga 30 Jun lepas, deposit Simpan SSPN yang diterima berjumlah RM18.54 bilion dengan 6.4 juta akaun telah dibuka, manakala di Pulau Pinang, deposit Simpan SSPN yang diterima berjumlah RM2.16 bilion dengan akaun dibuka sebanyak 340,388.

Seorang penerima B Keshni Devi, 29, memuji usaha kerajaan negeri dan PTPTN dalam melaksanakan inisiatif itu yang memberi banyak manfaat dalam membuat tabungan awal demi masa depan anak.

“Saya mohon Program Anak Emas bulan ini sebab baru tahu ada simpanan SSPN, sebelum ini memang dah buka akaun simpanan di bank untuk anak pertama A Kavvenessh yang berusia satu tahun tiga bulan.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang memang perlu ada simpanan awal dan program ini merupakan antara inisiatif terbaik untuk masa depan anak saya kelak,” katanya yang turut memberitahu akan berkongsi mengenai program itu dengan keluarga dan rakan-rakan bagi menggalakkan mereka untuk menyimpan.

Peniaga Siti Hajar Azudin, 28, dari Sungai Dua, Butterworth pula berterima kasih kepada kerajaan negeri dan PTPTN atas pemberian wang berkenaan dan menyifatkan ia sebagai permulaan untuk menabung demi pendidikan masa depan anaknya Edith Hassan Mikhail, yang kini berumur satu tahun dua bulan.

“Program ini amat bagus kerana ia bukan sahaja dapat meringankan beban ibu bapa, tetapi turut membantu tabiat menabung melalui Simpan SSPN yang memberi manfaat dan kelebihan seperti kadar dividen yang kompetitif dan banyak lagi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.