
Malaysia Airlines dalam satu kenyataan mengesahkan pesawat itu selamat mendarat pada jam 4.56 petang.
“Semua penumpang ditempatkan di sebuah hotel dan penerbangan baru mereka dijadualkan pada jam 9 pagi esok,” kata kenyataan itu.
Dua laman sesawang penjejak penerbangan menunjukkan pesawat itu berlepas dari KLIA kira-kira jam 3.30 petang dan berlegar di Selat Melaka sebelum selamat mendarat.
AstroAwani melaporkan, pesawat Penerbangan MH156 membawa 259 jemaah umrah dari dua agensi menuju ke Jeddah.

Seorang penumpang mendakwa pesawat itu mengalami gegaran sewaktu berlepas, dan berlegar-legar di ruang udara Malaysia kira-kira dua jam sebelum berpatah balik ke KLIA.
Baru-baru ini dilaporkan dua pesawat Malaysia Airlines membuat pendaratan cemas.
Pada 20 Jun lalu, sebuah pesawat Malaysia Airlines membawa lebih 100 penumpang yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Hyderabad, India akibat masalah enjin.
Pada 24 Jun, sebuah pesawat yang dalam penerbangan ke Bangkok berpatah balik ke KLIA selepas mengalami masalah tekanan udara dalam kabin.