
Malah, katanya, mata wang itu, yang sering dipertikaikan pembangkang kononnya sedang merudum, sebenarnya memperlihatkan aspek pemulihan positif bawah pentadbiran kerajaan pada masa ini.
“Ringgit juga paling kuat dalam Asia, kerana apa? Bukan kerana saya, ini kerana dasar kerajaan, kerana muafakat kita. Pelaburan datang, kalau tengok rekod puluhan tahun, orang yang pernah dalam kerajaan persekutuan tahu belum pernah sambutan (pelabur) sebegitu rupa.
“Bukan kerana Anwar, tetapi kerana Anwar mewakili negara Malaysia yang kini bangun sebagai negara hebat di rantau ini,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Sabah hari ini.
Anwar berkata, ketika mewakili Malaysia ke luar negara, beliau sentiasa mempromosi negeri-negeri termasuk Sabah, supaya negeri tersebut dijadikan destinasi pelaburan terutama dalam sektor pelancongan.
“Tiap tempat saya pergi, ke China, Jepun, Jerman saya tidak pernah tinggal mana-mana negeri. Saya sebut ada ruang pelaburan minyak dan gas, pelancongan, teknologi baharu, peralihan tenaga termasuk Sabah. Saya wakil Malaysia dan wakil Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, rakyat Sabah perlu menilai sebaiknya dan tidak tertipu dengan pemimpin yang melaungkan sentimen ‘Sabah untuk Sabah’ hanya untuk kepentingan diri semata-mata.
“Kita kerja sama-sama, panggil semua bincang masalah rakyat, kemiskinan tegar, bekalan air, elektrik, banjir, jalan lubang sana sini dan pelbagai lagi kita selesaikan bersama.
“Kalau (pemimpin) kata Sabah untuk Sabah, tanya adakah Sabah untuk tauke balak dan projek, atau Sabah ini untuk rakyatnya,” katanya.