Batal kontrak sewa Black Hawk, AGC dah beri maklum balas, kata Khaled

Batal kontrak sewa Black Hawk, AGC dah beri maklum balas, kata Khaled

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata Pejabat Peguam Negara memberi semua kemungkinan sekiranya kontrak itu dibatalkan.

black hawk
Tentera Darat Malaysia sebelum ini mengusulkan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk kepada Kementerian Pertahanan, susulan kelewatan penghantaran pertama helikopter berkenaan. (Gambar TUDM)
JELEBU:
Pejabat Peguam Negara telah memberikan maklum balas kepada Kementerian Pertahanan berkaitan cadangan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk untuk Tentera Darat Malaysia (TDM).

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata pihaknya akan membincangkan di peringkat kementerian berhubung tindakan selanjutnya.

“AGC beri semua kemungkinan, kalau dibatalkan macam mana, kalau tidak dibatalkan apa perlu kita lakukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Jelebu.

Khaled sebelum ini dilaporkan berkata kementeriannya sedang mendapatkan maklum balas daripada AGC berhubung cadangan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk untuk TDM.

Media turut melaporkan Panglima Tentera Darat Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata TDM mengusulkan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk kepada Kementerian Pertahanan, susulan kelewatan penghantaran pertama helikopter berkenaan.

Sementara itu, Khaled berkata kerajaan mempunyai perancangan berkenaan pasukan tentera pengaman di Lubnan sekiranya konflik di negara itu meruncing.

“Kita ada perancangan sekiranya konflik peperangan merebak di negara itu iaitu termasuk membawa pulang anggota kita, bagaimanapun ia memerlukan persetujuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.

Katanya, lebih 800 pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM yang membentuk Batalion Malbatt 850-11 melaksanakan misi pengaman dan kemanusiaan di Lubnan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.