Azmawi yakin isu diesel, harga barang tak pengaruhi pengundi

Azmawi yakin isu diesel, harga barang tak pengaruhi pengundi

Calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata harga barang bukanlah isu baharu kerana ia sentiasa dicanang setiap kali pilihan raya.

Calon Barisan Nasional, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata penduduk di Nenggiri juga mahukan wakil rakyat yang sentiasa berada di kawasan itu. (Gambar Bernama)
GUA MUSANG:
Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yakin isu nasional termasuk subsidi diesel dan kenaikan harga barang tidak akan menjadi faktor utama yang mempengaruhi sokongan pengundi di DUN Nenggiri.

Azmawi berkata, isu kenaikan harga barang bukan hanya berlaku ketika pemerintahan kerajaan perpaduan dan ia turut terjadi ketika pentadbiran sebelum ini.

“Siapa pun yang menjadi kerajaan bagi saya harga barang tidak akan turun. Selepas pentadbiran terdahulu dan kini kerajaan perpaduan adakah harga barang turun?

“Siapa yang menjadi kerajaan bagi saya benda itu (isu harga barang) masih sama sebab saya melaluinya bermula 2018 sehingga kini. Saya tak dengar lagi ada (harga) barang yang turun,” katanya kepada wartawan ketika bertemu pengundi di Kampung Bertam Lama.

Azmawi berkata, isu kenaikan harga barang bukanlah isu baharu kerana ia sentiasa dicanang oleh pembangkang setiap kali tiba musim pilihan raya.

Mengulas mengenai perkembangan kempen beliau setakat ini, Azmawi memberitahu, program turun padang ke kampung-kampung menunjukkan rakyat mahukan wakil rakyat yang boleh sentiasa berada di kawasan.

“Pembangunan semestinya rakyat mahu tapi yang penting mereka nak cari wakil rakyat yang sentiasa bersama mereka,” katanya.

Ditanya mengenai harapan penduduk di Kampung Bertam Lama yang mahu masalah banjir di kawasan itu diselesaikan, Azmawi berkata isu itu akan ditangani di peringkat BN tidak kira beliau menjadi wakil rakyat atau tidak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.