Umno dah serah surat tuntut RM100 juta kepada Jailani, kata Zahid

Umno dah serah surat tuntut RM100 juta kepada Jailani, kata Zahid

Presiden Umno itu berkata, jika Adun Rembia gagal membayar ganti rugi tersebut, tindakan susulan akan diambil parti.

Muhamad Jailani Khamis
Zahid Hamidi berkata surat tuntutan telah dikeluarkan kepada Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis untuk membayar RM100 juta kepada Barisan Nasional kerana menyertai PAS. (Gambar Facebook)
GUA MUSANG:
Umno sudah menyerahkan surat tuntutan kepada Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis bagi menuntut ganti rugi serta pampasan RM100 juta kerana menyertai PAS.

Presiden Umno, Zahid Hamidi berkata, jika Jailani gagal membuat bayaran tersebut, tindakan susulan akan diambil parti itu.

“Untuk Adun Rembia LOD (surat tuntutan) telah dikeluarkan kepada beliau untuk membayar RM100 juta kepada BN (Barisan Nasional),” katanya dalam sidang media di Pusat Daerah Mengundi Jerek sempena PRK Nenggiri.

Bagaimanapun, Zahid tidak menjelaskan bila surat tuntutan itu dihantar dan berapa lama tempoh diberikan kepada Jailani untuk menjawab tuntutan tersebut.

Pada 31 Julai lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bersetuju memulakan proses undang-undang dan menuntut ganti rugi serta pampasan RM100 juta daripada Jailani.

Dalam kenyataan, Setiausaha Agungnya Asyraf Wajdi Dusuki berkata ia selaras dengan perjanjian dimeterai terhadap wakil rakyat yang meninggalkan dan membelakangi pendirian parti.

PAS pada satu sidang media di Parlimen pada 16 Jul mengumumkan Jailani telah menyertai parti itu selepas diterima sebagai ahli pada Jun 2023.

Setakat 9 Sept tahun lalu media melaporkan Jailani sebagai ahli Umno, apabila lembaga disiplin parti mengesyorkan beliau digantung keahlian.

Jailani menyertai Umno pada Jun 2021 selepas meninggalkan PKR, dan mempertahankan kerusi DUN Rembia atas tiket Barisan Nasional pada PRN tahun sama.

Dalam perkembangan sama, Zahid turut memaklumkan calon BN bagi PRK Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani turut terikat dengan ganti rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta jika menang PRK tersebut

“Semua calon BN terikat dengan akuan sumpah dan perjanjian untuk tidak meninggalkan parti dan jika meninggalkan parti, bon yang harus dibayar semula adalah bernilai RM100 juta,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.