Terima rasuah sembunyi dokumen penting, 3 direman SPRM

Terima rasuah sembunyi dokumen penting, 3 direman SPRM

Tiga kakitangan syarikat minyak sawit itu disyaki menerima rasuah bagi menyembunyikan beberapa dokumen penting berkaitan 'Call Option Agreement'.

Suspek terdiri daripada seorang wanita dan dua lelaki itu dibawa Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan perintah tahanan reman. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga individu kerana disyaki menerima rasuah bagi menyembunyikan dokumen penting melibatkan syarikat industri minyak sawit.

Menurut sumber, semua suspek ditahan pada jam 10 malam semalam hingga 1 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Suspek wanita berusia 40-an yang bertugas sebagai pengurus akaun ditahan kerana disyaki terlibat dengan transaksi penerimaan rasuah.

“Manakala dua suspek lelaki yang merupakan setiausaha syarikat ditahan kerana disyaki menerima rasuah bagi menyembunyikan beberapa dokumen penting berkaitan ‘Call Option Agreement’ (COA),” katanya.

Kata sumber, dokumen berkenaan dipercayai disembunyikan oleh setiausaha syarikat untuk melambatkan pihak kedua daripada melaksanakan perjanjian COA yang ditandatangani pada Mac 2021 dan melengahkan penghakiman kes saman sivil yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada Okt 2022.

Menurutnya, suspek wanita direman selama tiga hari sehingga 5 Ogos ini manakala suspek lelaki, yang masing-masing berusia lingkungan 40-an dan 50-an pula direman selama lima hari, sehingga 7 Ogos.

Katanya, perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Norainina Shariful Anuar setelah permohonan di buat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.