Malaysia, Thailand setuju percepat bina jambatan Kedua Sg Golok-Rantau Panjang

Malaysia, Thailand setuju percepat bina jambatan Kedua Sg Golok-Rantau Panjang

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ia antara perkara yang diputuskan semasa pertemuan bersama rakan sejawatan beliau dari Thailand Srettha Thavisin hari ini.

anwar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Srettha Thavisin berjabat tangan semasa lawatan kerja di Sungai Golok dan Rantau Panjang di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan hari ini. (Gambar Bernama)
PASIR MAS:
Malaysia dan Thailand bersetuju mempercepatkan pelaksanaan Jambatan Kedua Sungai Golok-Rantau Panjang dekat sini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Perdana menteri berkata perkara itu antara yang diputuskan semasa pertemuan bersama rakan sejawatan beliau dari Thailand Srettha Thavisin, selepas bersama-sama mengadakan lawatan kerja di Kompleks CIQ (Kastam, Imigresen, Kuarantin) Sungai Golok di Narathiwat hari ini.

Selain itu, Anwar berkata kedua-dua negara juga memutuskan untuk mempercepatkan pembangunan dan pembersihan muara Sungai Golok, yang pastinya akan membantu rakyat Selatan Thailand dan di Kelantan daripada masalah banjir.

“Bila hubungan peribadi baik, hubungan antara kedua-dua kerajaan baik, manfaatnya akan sampai kepada rakyat,” katanya dalam ucapan ringkas di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, di sini, hari ini.

Perdana menteri berkata penjelasan lanjut mengenai pelbagai isu yang dibincangkan antara kedua-dua pemimpin, akan diumumkan dalam sidang media selepas ini.

Anwar memberikan jaminannya bahawa jubungan Malasia-Thailand akan bertambah baik dengan signifikan di bawah kepimpinan Srettha.

Beliau berkata Malaysia menghargai komitmen Stretha untuk melakukan apa sahaja demi mencapai resolusi keamanan dan menumpukan kepada pembangunan ekonomi di selatan Thailand dan utara Malaysia, iaitu Kelantan.

“Terima kasih kepada perdana menteri Thailand, sebelum ini kita bertemu di Sadao dan Bukit Kayu Hitam. Alhamdulillah ada kemajuan, ini signal penting ke arah kerjasama dan mencapai perdamaian dan pembangunan,” kata beliau.

Sementara itu, Srettha dalam ucapannya berkata utara Malaysia dan selatan Thailand telah diberkati dengan sumber asli dan perhubungan baik antara kedua-dua negara.

Beliau menyatakan bahawa banyak isu dibincangkan hari ini, seperti jambatan Sungai Golok, yang akan memudahkan pembangunan ekonomi Malaysia dan Thailand.

“Kami membincangkan mengenai zon ekonomi khas yang kami akan usahakan bersama. Menteri luar akan bertemu minggu hadapan untuk membincangkan langkah seterusnya, yang kami harap dapat dilaksanakan untuk membangunkan perniagaan makanan halal dan ladang getah.

“Ini bidang utama yang sedang kami lihat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.