Kes demam denggi menurun, catat 4 kematian

Kes demam denggi menurun, catat 4 kematian

Ia menurun kepada 2,609 pada Minggu Epidemiologi ke-30 iaitu bagi tempoh 21 hingga 27 Julai lepas berbanding 2,690 pada minggu sebelumnya.

denggi
Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME30 adalah sebanyak 85,740 kes berbanding 68,651 bagi tempoh sama tahun lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Radzi Abu Hassan. (Gambar Rawpixel)
PUTRAJAYA:
Kes demam denggi menurun kepada 2,609 pada Minggu Epidemiologi ke-30 (ME30) iaitu bagi tempoh 21 hingga 27 Julai lepas berbanding 2,690 pada minggu sebelumnya yang menyaksikan empat kematian dilaporkan akibat komplikasi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Radzi Abu Hassan, berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME30 adalah sebanyak 85,740 kes berbanding 68,651 bagi tempoh sama tahun lepas.

“Terdapat 73 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 47 kematian bagi tempoh sama pada 2023,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Radzi berkata bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME30 adalah sebanyak 96 lokaliti berbanding 94 pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata daripada 96 lokaliti yang dilaporkan, Selangor mencatatkan 75 lokaliti, di Perak dan Negeri Sembilan masing-masing lima, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing empat, Sabah (tiga), Kedah (dua) dan masing-masing satu lokaliti di Kelantan dan Johor.

Radzi berkata bagi survelan chikungunya terdapat empat kes direkodkan pada ME30.

Beliau berkata jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini ialah 62 kes dan tiada wabak chikungunya dilaporkan pada ME30.

Bagi survelan zika pula, Radzi berkata sebanyak 1,564 sampel darah, lapan sampel urin dan tiga sampel serebrospinal telah disaring dan kesemua mencatatkan keputusan negatif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.