Istilah ‘orang asal Sabah’ lagi sesuai, ‘Momogun’ tak inklusif, kata ahli akademik

Istilah ‘orang asal Sabah’ lagi sesuai, ‘Momogun’ tak inklusif, kata ahli akademik

Romzi Ationg dari UMS berkata istilah Momogun disifatkan tidak inklusif dan hanya menggambarkan kumpulan Dusunik, Murutik dan Paitanik atau Kadazandusun Murut.

MOMOGUN
Semalam, 75 daripada 84 persatuan etnik menyertai Konvensyen Perdana Momogun menandatangani deklarasi istilah Momogun digunakan untuk orang asal Sabah daripada kumpulan Dusunik, Murutik dan Paitanik. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik berpendapat cadangan penggunaan istilah ‘orang asal Sabah’ atau ‘anak negeri Sabah’ bagi menggantikan perkataan ‘lain-lain’ dalam dokumen rasmi kerajaan lebih sesuai kerana mencakupi kepelbagaian kaum serta etniknya.

Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, cadangan penggunaan istilah ‘Momogun’ disifatkan tidak inklusif dan hanya menggambarkan kumpulan Dusunik, Murutik dan Paitanik.

Menurutnya, etnik seperti Bajau dan Brunei yang juga orang asal negeri itu difahamkan tidak termasuk dan keadaan berkenaan dibimbangi boleh menimbulkan prasangka negatif sehingga memecahbelahkan perpaduan masyarakat majmuk.

“Usaha menggantikan perkataan ‘lain-lain’ dalam dokumen kerajaan harus menjadi penyatuan bukan melebarkan lagi jurang, lebih sesuai digunakan istilah ‘orang asal Sabah’ atau ‘anak negeri Sabah’.

“Sepatutnya perkara itu tidak dipolitikkan dan dibincangkan sebaiknya,” katanya kepada FMT sambil menyatakan sokongan usaha menggantikan perkataan ‘lain-lain’.

“Bila kita lihat istilah itu dalam borang atau dokumen rasmi kerajaan, terasa seperti kita terasing dan terletak di kelas ketiga.”

Semalam, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick memaklumkan 75 daripada 84 persatuan etnik menyertai Konvensyen Perdana Momogun kelmarin menandatangani deklarasi istilah Momogun digunakan untuk orang asal Sabah daripada kumpulan Dusunik, Murutik dan Paitanik.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) itu berkata, ia bukan bermakna mewujudkan nama etnik baharu sebaliknya menggantikan istilah ‘lain-lain’ dalam dokumen rasmi kerajaan.

Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan pula berkata adalah mustahak istilah ‘orang asal Sabah’ atau ‘anak negeri Sabah’ digunakan untuk mewakili semua Orang Asli di negeri itu, seterusnya menggantikan istilah ‘lain-lain’.

Kitingan yang juga presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, istilah ‘Momogun’ dan ‘Kadazandusun’ walaupun diiktiraf secara meluas tetapi tidak cukup inklusif.

Menurut Romzi, cadangan menggantikan perkataan ‘lain-lain’ itu masih panjang kerana perlu diluluskan DUN Sabah dan diperakui Yang di-Pertua Negeri sebelum dibawa ke Parlimen kerana membabitkan aspek terminologi negara.

“Proses ini masih panjang, bukan semata-mata dibincangkan di konvensyen sahaja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.