BN lawan PAS di PRK Nenggiri

BN lawan PAS di PRK Nenggiri

PRK DUN Nenggiri diadakan selepas kerusi itu diisytihar kosong apabila penyandangya Mohd Azizi Abu Naim tidak lagi menjadi ahli Bersatu.

CALON DUN NENGGIRI
Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dari Barisan Nasional dan Mohd Rizwadi Ismail dari Perikatan Nasional akan merebut kerusi DUN Nenggiri pada PRK 17 Ogos depan.
GUA MUSANG:
PRK DUN Nenggiri 17 Ogos depan menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani manakala PAS diwakili bekas timbalan ketua Pemuda PAS Gua Musang Mohd Rizwadi Ismail.

Perikatan Nasional (PN) memutuskan menggunakan logo bulan PAS pada pilihan raya kecil itu walaupun Mohd Rizwadi dari Bersatu.

Pengumuman calon itu dibuat Pegawai Pengurus PRK Nenggiri Nik Raisnan Daud di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang

pas Mohd Rizwadi ismail
Mohd Rizwadi Ismail diiringi pemimpin utama PN antaranya Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin ke pusat penamaan calon PRK Nenggiri.

Terdahulu, Nik Raisnan memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima dua borang selepas proses penamaan calon ditutup pada 10 pagi.

Rizwadi tiba pada 8.35 pagi diiringi pemimpin utama PN antaranya Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu dan Presiden Gerakan Dominic Lau.

Mohd Azmawi pula tiba 9 pagi sambil diiringi Pengerusi BN Zahid Hamidi, Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani, Pengarah Pilihan Raya BN PRK Nenggiri Tengku Razaleigh Hamzah dan Naib Presiden Amanah Adly Zahari.

PRK Nenggiri diadakan selepas DUN Kelantan pada 19 Jun lalu mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas dimaklumkan Mohd Azizi Abu Naim bukan lagi ahli Bersatu.

BN Encik Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi dan Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani mengiringi calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani ke pusat penamaan calon PRK Nenggiri.

Keahlian Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dihentikan selepas dia gagal mengisytiharkan kesetiaannya kepada parti dan menunjukkan sokongan kepada Anwar Ibrahim selaku perdana menteri.

Pada PRN tahun lalu, Azizi menewaskan Ab Aziz Yusoff daripada Umno, bekas Adun kawasan itu dalam persaingan satu lawan satu dengan majoriti 810 undi.

Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya setakat 18 Jun lalu, 20,259 orang layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK itu melibatkan 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.