Bentang kertas putih had tempoh PM, kata badan pemikir

Bentang kertas putih had tempoh PM, kata badan pemikir

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi berkata kertas putih itu perlu memaklumkan syor bagaimana cadangan undang-undang mahu dilaksanakan.

Tricia Yeoh
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Tricia Yeoh, berkata kerajaan perlu menyediakan pelan jelas dan garis masa merumuskan undang-undang baharu itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kertas putih pindaan Perlembagaan berkait had penggal perkhidmatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun perlu disediakan kerajaan, kata badan pemikir.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Tricia Yeoh berkata kajian menyeluruh kerajaan termasuk melihat pelaksanaannya di luar negara tidak boleh mengambil masa lama.

“Kami mengalukan kajian seumpama itu, tetapi ia perlu disertakan dengan pelan dan garis masa jelas yang tidak terlalu panjang,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, cadangan juga perlu mengandungi syor terhadap mekanisme pelaksanaan dan melibatkan semua pemegang taruh.

“Kaedah ideal adalah kerajaan mengusahakan, dan membentangkan kertas putih mengenai perkara itu yang boleh dibincangkan secara meluas melalui perundingan dengan badan profesional dan masyarakat sivil,” katanya.

Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata kajian menyeluruh diperlukan jika penggal perdana menteri mahu dihadkan kepada 10 tahun.

Katanya, pindaan Perlembagaan itu memerlukan perbincangan mendalam dan keputusan di peringkat Jemaah Menteri. Sidang khas Parlimen juga perlu dibuat melibatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi perbahasan draf rang undang-undang.

Azalina berkata, kerajaan pada 11 Mac 2022 mempertimbang memorandum daripada perdana menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob mengenai Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022, bertujuan mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri tidak lebih 10 tahun.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan menangguhkan keputusan dalam memorandum itu bagi membolehkan semakan lebih menyeluruh, terutama berkait perkara dasar.

Dalam pada itu, Pengerusi Bersih Faisal Abdul Aziz, berkata sebarang keputusan melibatkan pindaan Perlembagaan memerlukan kajian mendalam.

“Namun, sekurang-kurangnya bagi rakyat mengetahui perkembangannya, kerajaan kena telus,” katanya.

Faisal menggesa kerajaan menggariskan proses khususnya perundingan dilakukan bersama pakar.

Katanya, apa jua rang undang-undang berkait had perkhidmatan perdana menteri perlu sejajar dengan cadangan undang-undang pendanaan politik, dijangka dibentang di Parlimen sebelum hujung tahun ini.

Pada Mei, Kumpulan Rentas Parti Parlimen – Pendanaan Politik Malaysia berkata, draf rang undang-undang itu berkemungkinan dibentang pada Disember, mengambil kira sidang Dewan Rakyat pada Oktober tertumpu bagi pembentangan Belanjawan 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.