Pekerja asing maut dihempap ‘forklift’, JKKP keluar notis henti kerja

Pekerja asing maut dihempap ‘forklift’, JKKP keluar notis henti kerja

Mangsa dihempap jentera pengangkut itu yang hilang keseimbangan dalam kejadian di sebuah kilang di Bukit Mertajam.

garisan polis
Seorang pemandu jentera pengangkut meninggal dunia selepas dihempap jentera itu, kata Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang.
PETALING JAYA:
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengeluarkan notis pemberhentian serta-merta di kawasan kejadian seorang pekerja asing maut dihempap jentera pengangkut (forklift), di sebuah kilang pembuatan, di Bukit Mertajam.

Pengarahnya, Hairozie Asri berkata kemalangan membabitkan pekerja lelaki tersebut berlaku pada 9.40 malam Isnin lalu dan mangsa ialah pemandu forklift itu.

“Sebelum kejadian, mangsa sedang menjalankan kerja mengangkat dan memindahkan barang-barang di dalam kawasan logistik di kilang itu, dia dilaporkan dihempap ‘forklift’ yang hilang keseimbangan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Sepasukan pegawai penyiasat dari JKKP Pulau Pinang telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima pemberitahuan mengenai kes kejadian kemalangan itu,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan notis pemberhentian serta-merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian di kilang berkenaan sehingga siasatan selesai dijalankan.

Katanya, JKKP Pulau Pinang juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada pihaknya.

“Kami akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenal pasti serta lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.