
Ketua Polis Kuantan, Wan Mohd Zahari, berkata suspek 49 tahun itu ditahan kira-kira 9.45 pagi Khamis dan dadah dirampas dianggarkan melebihi RM359,000.
Menurutnya, anggota peronda lebuh raya (EMPV) yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di KM267 Lebuhraya Pantai Timur 2 menahan kereta Honda dipandu suspek untuk pemeriksaan.
“Suspek diarahkan keluar dari kenderaan untuk pemeriksaan but kenderaan. Bagaimanapun, lelaki itu bertindak nekad memecut kenderaan menuju ke arah Plaza Tol Jabor dan merempuh palang tol sebelum masuk ke Jalan Sungai Ular,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, suspek cuba melarikan diri, tetapi gagal dan pemeriksaan lanjut di but kereta menemui kotak berisi ketulan ganja mampat.
Katanya, suspek direman hingga 8 Ogos ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.