JAIPk mohon maaf kontroversi lawatan kuil

JAIPk mohon maaf kontroversi lawatan kuil

Pihak berkuasa itu menjelaskan wanita mengeluarkan kenyataan banyak persamaan antara agama Islam dan Hindu bukan pegawai atau kakitangannya.

Jabatan Agama Islam Perak akan mengkaji semula modul dan kaedah pelaksanaan kursus serta menetapkan garis panduan khusus kepada peserta program dakwah pada masa hadapan.
PETALING JAYA:
Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) memohon maaf susulan kontroversi klip video program lawatan ke sebuah rumah ibadat bukan Islam di ibu negara pada 30 Julai lalu.

Pihak berkuasa itu menjelaskan, wanita yang menyatakan terdapat banyak persamaan antara agama Islam dan Hindu dalam video tersebut bukan kakitangannya.

“Jabatan ini memohon maaf kepada semua pihak terutama umat Islam atas kontroversi yang timbul susulan penganjuran kursus serta kenyataan peserta berkenaan sehingga menimbulkan salah faham selain menjejaskan nama baik kerajaan dan pihak berkuasa agama.

“Wanita berkenaan bukan pegawai atau kakitangan JAIPk seperti didakwa, sebaliknya salah seorang peserta yang mengikuti kursus secara sukarela,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, tular klip video menunjukkan peserta program anjuran JAIPk mengadakan lawatan ke sebuah kuil.

Dalam video itu, seorang peserta berkongsi pendapatnya bahawa terdapat banyak persamaan antara agama Islam dan Hindu, yang menimbulkan perdebatan dalam kalangan warganet.

JAIPk berkata, video itu berkaitan lawatan diadakan secara tertutup dan dikendalikan Global Unity Network (Unity) dengan kerjasama pihaknya melibatkan 32 peserta terpilih dari seluruh Perak.

Jabatan itu menegaskan, pihaknya tidak akan sesekali mengendurkan pegangan terhadap prinsip maqasid syariah yang selama ini menjadi tunggak pentadbiran kerajaan negeri.

“Semua peserta sedang mengikuti lima kursus dakwah bawah JAIPk yang bertujuan meningkatkan kefahaman mereka mengenai hal ehwal aktiviti dakwah, manakala lawatan berkenaan adalah salah satu modul dalam kursus tersebut,” katanya.

JAIPk berkata, lawatan itu sebahagian pengisian kursus untuk melatih dan meningkatkan keyakinan peserta dalam menyampaikan dakwah terutama bagi membetulkan salah faham mengenai Islam termasuk kebencian akibat sentimen Islamofobia.

Katanya, bagaimanapun ia bertukar menjadi polemik apabila sebuah akhbar menyiarkan klip video kenyataan seorang peserta wanita yang menimbulkan salah faham sehingga mengundang perdebatan hangat di media sosial.

Susulan itu, Pejabat Menteri Besar Perak memanggil satu mesyuarat khas pagi tadi dihadiri pihak Jabatan Mufti Negeri Perak, JAIPk dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi membincangkan isu berkenaan.

Katanya, hasil mesyuarat itu dan atas titah nasihat Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, JAIPk diarahkan mengkaji semula modul kursus berkenaan.

Sehubungan itu, JAIPk memberi jaminan akan mengkaji semula modul dan kaedah pelaksanaan kursus serta menetapkan garis panduan khusus kepada peserta program dakwah pada masa hadapan.

“JAIPk juga akan berbincang dengan pemegang taruh serta pihak berkuasa agama Islam lain untuk memikirkan kaedah atau pendekatan kursus dakwah lebih sesuai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.