
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, pihaknya amat kesal dengan tohmahan seorang ahli politik berhubung perkara itu bertujuan memburukkan imej dan komitmen kerajaan dalam menjayakan agenda mengukuhkan kedudukan Islam serta pembangunan ummah.
“Program berkala ini sebahagian daripada siri latihan peningkatan kefahaman dan kemahiran dakwah bermatlamat meningkatkan kepakaran dakwah kepada guru bagi membolehkan mereka memberikan kefahaman sebenar tentang ilmu berkaitan agama lain dan perbandingannya kepada komuniti dan generasi muda,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan sepanjang Lawatan Harmoni Terbimbing, tiada penglibatan dalam amalan upacara keagamaan kerana ia bukan program terbuka kepada umum, tetapi buat peserta terlatih dalam bidang dakwah dan perbandingan agama.
Menurutnya, lawatan itu juga memberi ruang dan peluang kepada guru agama dakwah berdialog serta menyampaikan mesej agama Islam sebenar dan sejagat demi memelihara kesejahteraan serta keharmonian tamadun insan.
Malah, beliau berkata, penganjuran kursus menerusi pendekatan dialog antara tamadun juga bukan inisiatif baharu, tetapi dilaksanakan dengan jayanya sejak lima tahun lepas.
“Sesungguhnya, negara kita memerlukan lebih ramai guru agama dakwah yang berilmu dan berkepakaran tinggi dalam bidang ilmu agama dan perbandingannya demi memelihara jati diri aqidah dan sahsiah, terutama dalam kalangan generasi muda dan masyarakat Islam.”
Terdahulu, tular klip video menunjukkan peserta program anjuran JAIPk mengadakan lawatan ke sebuah kuil.
JAIPk dalam kenyataan hari ini menjelaskan program lawatan 32 peserta terpilih dari seluruh Perak itu sebahagian pengisian kursus untuk melatih dan meningkatkan keyakinan peserta dalam menyampaikan dakwah, terutamanya bagi membetulkan banyak salah faham mengenai Islam.