
Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki, mengesahkan kedua-duanya dipanggil berhubung kes berkenaan.
“Saya mengesahkan, SPRM memanggil dua peguam berhubung kes Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) untuk disoal siasat.
“Tiada reman ke atas dua individu itu,” katanya hari ini, menurut Berita Harian.
Media kelmarin melaporkan penahanan tiga individu termasuk seorang bergelar Datuk kerana disyaki menerima rasuah berkait satu projek perumahan berjumlah hampir RM110 juta di Kuantan, Pahang.
Sumber berkata, suspek bergelar Datuk itu adalah bekas pegawai sebuah anak syarikat milik penuh pemaju SPNB.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek bersama seorang lagi individu dipercayai menerima rasuah daripada sebuah syarikat pembinaan sebagai balasan bersekongkol menandatangani perjanjian pembangunan tambahan (SDA) membabitkan Projek Pembangunan Perumahan Rumah Aspirasi Rakyat Daerah Kuantan tanpa kelulusan Lembaga Pengarah SPNB.
“Perjanjian yang ditandatangani itu dipercayai mengandungi klausa yang berat sebelah sehingga menyebabkan SPNB menanggung kerugian mencecah puluhan juta ringgit.
“Semua suspek ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM antara jam 6.30 petang hingga 7 malam pada Isnin lalu, namun seorang dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka dirakamkan,” katanya.
Mereka kini direman lima hari sehingga 3 Ogos ini.