2 pegawai Jabatan Pendidikan Melaka didakwa subahat, terima rasuah

2 pegawai Jabatan Pendidikan Melaka didakwa subahat, terima rasuah

Yusmawati Mohamad Yussop, 48, dan Rosni Leman, 61, didakwa bersubahat dan menerima rasuah bernilai RM27,100 daripada kontraktor pengiklanan untuk kerja perbekalan.

Yusmawati Mohamad Rosni Leman
Dua pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Yusmawati Mohamad Yussop, 48, dan Rosni Leman, 61, mengaku tidak bersalah Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas dakwaan bersubahat dan menerima rasuah bernilai RM27,100 daripada seorang kontraktor, dua tahun lepas. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Dua pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas dakwaan bersubahat dan menerima rasuah bernilai RM27,100 daripada seorang kontraktor pengiklanan bagi mendapatkan kerja-kerja perbekalan, dua tahun lepas.

Yusmawati Mohamad Yussop, 48, dan Rosni Leman, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Yusmawati yang bertugas sebagai ketua pembantu tadbir didakwa menerima wang tunai bernilai antara RM1,900 hingga RM9,000 bagi tempoh 7 Mac 2022 hingga 9 Feb 2023, di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Sementara Rosni yang ketika itu bertugas sebagai timbalan pengarah, dituduh di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Yusmawati.

Kedua-dua wanita itu didakwa menerima suapan daripada Pengurus Syarikat Pusat Pengiklanan Prisma Ong Ah Siong yang mana tertuduh mengetahui pengadu mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi mereka.

Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohammad Azriff Firdaus Mohamad Ali yang mencadangkan jaminan antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap tertuduh, selain perlu melapor diri ke Pejabat SPRM Melaka sebulan sekali sepanjang kes berjalan.

Bagaimanapun Yusmawati dan Rosni yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan, atas alasan masing-masing merupakan ibu tunggal yang perlu menanggung anak-anak.

Hakim Elesabet menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin ke atas setiap tertuduh dan bersetuju dengan semua syarat tambahan tersebut.

Mahkamah menetapkan 12 Ogos ini bagi sebutan kes dan serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.