
Ketua Polis Gerik Zulkifli Mahmood berkata pihaknya dihubungi orang awam pada 2 petang hari terbabit yang memaklumkan penemuan wanita berusia 32 tahun yang keseorangan dan mengalami kecederaan.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek yang juga suami mangsa berusia 39 tahun membawanya dari ibu kota ke Perak kira-kira 5.30 petang Jumaat lalu dengan alasan ingin pulang ke kampung.
Namun, kedua-duanya bertengkar sepanjang perjalanan sebelum mangsa dikasari dan diugut bunuh oleh suspek yang kemudiannya memberhentikan kereta di satu lokasi.
“Suspek memberhentikan kereta dan bertindak mengugut mahu membunuh mangsa menggunakan sebilah pisau namun mangsa merayu, berlaku pertengkaran sambil suspek mencekik leher mangsa.
“Mangsa bertindak terjun daripada kereta tetapi suspek memaksa isterinya itu masuk semula dalam kereta dan terus memecut kereta sehingga tiba di kawasan KM 31.2 JRTB kira-kira jam antara 4 hingga 5 pagi. Setibanya di kawasan itu, berlaku lagi pertengkaran mulut antara mereka.
“Suspek kemudiannya menarik mangsa keluar dari kereta dan berlaku pergaduhan serta pergelutan di bahu jalan. Dia menolak mangsa sehingga jatuh ke dalam gaung,” katanya menerusi kenyataan hari ini, menurut Berita Harian.
Beliau berkata, mangsa bertindak menyelamatkan diri dengan merangkak naik ke bahu jalan sebelum ditemui oleh orang awam.
“Orang awam menghubungi polis sebelum mangsa dihantar menggunakan ambulans ke Hospital Gerik untuk rawatan. Berdasarkan pemeriksaan, mangsa mengalami kesan calar, luka serta lebam pada tubuh badan dan kini mangsa menerima rawatan di Hospital Taiping.
“Suspek ditahan semalam oleh IPD Baling kerana terdapat pembabitan suspek dalam kes yang berlaku di daerah pentadbiran IPD berkenaan,” katanya.
Menurutnya, lelaki juga dikesan mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952; Akta Kesalahan Kecil; dan Kanun Keseksaan.
“Sejurus siasatan kes di Baling selesai, suspek akan ditangkap semula oleh pihak IPD Gerik untuk melengkapkan siasatan kes cubaan membunuh ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh,” katanya.