Subsidi diesel bantu serap kos nelayan, kekal harga ikan

Subsidi diesel bantu serap kos nelayan, kekal harga ikan

Golongan nelayan dan pekebun akur penyasaran subsidi dilaksanakan untuk memastikan hanya rakyat yang layak menerima bantuan.

nelayan
Nelayan berdaftar di Pantai Kelanang, Banting menunggu giliran mengisi diesel bersubsidi yang diberikan kerajaan sebelum berlepas ke laut.
KUALA LANGAT:
Penyasaran subsidi diesel sejak 10 Jun lalu bukan hanya mematahkan kegiatan penyeludupan tetapi membantu menstabilkan harga ikan untuk pasaran tempatan, susulan bantuan terus dinikmati nelayan.

Nelayan di Kampung Kelanang, Banting antara ribuan nelayan di seluruh negara mendapat bantuan diesel diperkenal sejak 2006 itu melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi menampung sebahagian kos operasi mereka kesan kenaikan harga minyak di pasaran.

Ketua Pengkalan Jeti Zanizam Ismail, 43, berkata nelayan lesen gred A (pukat hanyut) dan B (pukat tarik) boleh dikatakan bertuah kerana masih menerima subsidi diesel 1,500 liter sebulan pada harga RM1.65 setiap liter.

Bantuan itu terus dinikmati walaupun kerajaan mengumumkan pengapungan harga runcit bahan api itu kepada RM3.35 seliter untuk Semenanjung Malaysia.

Zanizam Ismail
Zanizam Ismail.

“Setiap kali hendak ke laut, nelayan perlu isytihar dengan imbas kad pengenalan dan barulah dibenarkan isi diesel.

“Melalui cara ini semua nelayan berdaftar dengan kami akan dapat subsidi diesel,” kata Zanizam kepada FMT sambil menjelaskan langkah itu bagi mengelakkan ketirisan.

Beliau mengakui kos operasi mereka dapat diserap menerusi pemberian subsidi bahan bakar itu yang manfaatnya turut dirasai pengguna dengan pengekalan harga ikan.

“Sejak 2007, harga ikan yang dijual kekal sekitar RM14-RM18 sekilogram. Harga ikan tidak naik, cuma peralatan nak menangkap ikan meningkat tanpa kawalan,” katanya yang berharap isu itu mendapat perhatian Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat).

Sementara itu, pengenalan bantuan wang tunai RM200 sebulan menerusi Budi Madani yang turut dinikmati pekebun kecil juga membantu dalam mengurangkan beban perbelanjaan operasi seharian komuniti terbabit.

Pekebun kecil kelapa sawit, Sahman Duriat, 56, berkata lazimnya dia membelanjakan sekitar RM500 untuk membeli diesel sebulan untuk membawa hasil tanamannya ke pusat pengumpulan buah kelapa sawit (REM) berdekatan.

sahmat
Sahman Duriat menerima bantuan RM200 sebulan menerusi Budi Madani yang membantu menyerap sebahagian kos operasi menghantar buah kelapa sawit ke pusat pengumpulan menggunakan trak pikap.

“Bantuan wang tunai RM200 (menerusi Budi Madani) membantu pekebun kecil (serap kos perbelanjaan diesel),” katanya yang lebih 10 tahun mengusahakan ladang kelapa sawit di Bestari Jaya.

Untuk mendaftar Budi Madani, sila layari https://budimadani.gov.my

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.