Pengguna tak terkesan syarat lesen media sosial

Pengguna tak terkesan syarat lesen media sosial

Kerangka kawal selia baharu terhadap media sosial dan pesanan internet hanya terpakai bagi penyedia perkhidmatan.

social-media
Pada 27 Julai SKMM mengumumkan perkhidmatan media sosial dan pesanan internet dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar perlu memohon lesen berkuat kuasa 1 Jan depan.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menegaskan pengguna perkhidmatan media sosial tidak akan terkesan dengan kerangka kawal selia perkhidmatan internet, sebaliknya ia hanya membabitkan penyedia perkhidmatan seperti Facebook, TikTok dan Telegram.

SKMM berkata, garis panduan komprehensif yang akan dibangunkan dalam tempoh Ogos hingga Disember itu, akan memberi manfaat kepada pengguna menerusi ciri keselamatan yang dipertingkatkan, hasil pematuhan undang-undang oleh penyedia perkhidmatan.

Menurut agensi itu, antara langkah keselamatan yang perlu diperkenalkan adalah berkaitan perlindungan data pengguna, pengesahan umur untuk menghalang penggunaan platform oleh individu berusia bawah 13 tahun.

SKMM berkata, usaha ini dilaksanakan sebagai kaedah menangani kemudaratan dalam talian dan meningkatkan penyederhanaan kandungan (content moderation).

“Semua pihak berkepentingan termasuk pertubuhan masyarakat sivil, badan bukan kerajaan (NGO), pemberi perkhidmatan dan orang awam dijemput memberikan maklum balas apabila proses rundingan awam dimulakan,” katanya dalam kenyataan.

Pada 27 Julai, SKMM mengumumkan perkhidmatan media sosial dan pesanan internet dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini perlu memohon lesen kelas pemberian perkhidmatan aplikasi berkuat kuasa 1 Jan depan.

SKMM menjelaskan, dasar baharu itu dibuat selaras keputusan Jemaah Menteri dalam usaha memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.