
Pengerusi Penasihat Umno Hulu Selangor Muhammad Muhd Taib berkata keadaan sama juga pernah berlaku kepada parti lain, namun beliau mengakui pertukaran itu juga menyebabkan ada yang kecewa seperti pendirian Amanah kawasan itu.
Menurut bekas naib presiden Umno dikenali Mat Taib itu, kemelut terbabit perlu diselesaikan secara baik oleh pucuk pimpinan supaya tidak berlarutan hingga PRU16 dan menjejaskan kerjasama bermula sejak pasca November 2022, seiring penubuhan kerajaan perpaduan di peringkat pusat.
“Isu begini biasa berlaku (parti lain bertanding pilihan raya tetapi pihak lain diberi jawatan penyelaras DUN)…jadi kita serah kepada pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) selesaikan.
“Kalau Amanah kata hubungan dengan Umno dingin kita panaskanlah, apa pula nak tunggu dingin selalu…kita ada pimpinan boleh atasi isu ini,” katanya kepada FMT sambil menyatakan kesediaan menjadi pendamai untuk meleraikan isu itu.
FMT sebelum ini melaporkan seorang pemimpin Amanah Hulu Selangor mendakwa hubungan parti itu dengan Umno-BN dingin selepas pertukaran jawatan penyelaras DUN Hulu Bernam didakwa secara mengejut, Mei lalu.
Ketua Umno Hulu Selangor Mohd Isa Abu Kasim menggantikan Roslin Md Zin dari Amanah sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan ahli parti komponen PH itu.
Naib Ketua Amanah Hulu Selangor Mohammad Syafiq Musa berkata sejak kontroversi itu tiada perbincangan rasmi dibuat dengan Umno untuk melancarkan gerak kerja terutama dalam merampas semula DUN Hulu Bernam dari Perikatan Nasional (PN).
Dakwanya, mengikut persetujuan asal antara parti BN-PH parti bertanding pada PRN harus diberi jawatan penyelaras DUN.
DUN Hulu Bernam pernah menjadi kubu kuat Umno namun dirampas PN menerusi Mu’izzudden Mahyuddin yang menewaskan calon PH dari Amanah Mohd Amran Mohd Sakir dengan majoriti 669 undi pada PRN Ogos tahun lalu.
Umno tidak mempertahankan kerusi itu susulan langkah penyelarasan berdasarkan keadaan politik semasa, dipercayai merujuk kepada kerjasama BN-PH.