Rundingan kerjasama Bersatu, parti lain tunjuk tanda memberangsangkan

Rundingan kerjasama Bersatu, parti lain tunjuk tanda memberangsangkan

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, parti itu sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana parti bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN pada PRU15.

Muhyiddin Yassin berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersatu di Menara PGRM malam ini.
KUALA LUMPUR:
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata, walaupun rundingan untuk bekerjasama dengan parti lain bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 masih di peringkat awal, tetapi ia sudah menunjukkan tanda memberangsangkan.

“Kita memang sudah mula (berunding), tapi kita tak buat apa-apa pengumuman kerana masih di peringkat awal.

“Dalam pertemuan awal pun dah ada petanda yang agak memberangsangkan. Mereka (parti lain) ada persediaan untuk berbincang, cuma kita belum selesai lagi cara macam mana nak bentuk dalam satu persefahaman untuk mengelakkan pertembungan.

“Maka, saya fikir pimpinan parti lain seharusnya boleh berfikiran sama dan saya fikir mereka sudah menunjukkan reaksi agak positif, tapi belum lagi kita perhalusi macam mana cara jalinan kerjasama itu nak dilaksanakan,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa Bersatu di Menara PGRM.

Beliau yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, rundingan dengan parti lain bertujuan memastikan tiada pertandingan banyak penjuru bagi memudahkan saingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).

“Kita bersedia untuk duduk berbincang dengan mana-mana parti bagi mencari formula, baik parti yang kita sehaluan atau sepemikiran, dengan erti kata lain, kalau tak ada gabungan antara parti, maka undi berpecah.

“Walaupun BN dan Umno bukan parti yang berpengaruh seperti dulu, tetapi mereka parti yang mempunyai jumlah undi sedikit lebih daripada kita, sebab itu mereka cipta kejayaan (dalam pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini).

“Kita perlu mencari formula menang-menang supaya akhirnya dapat berhadapan pilihan raya umum menentang BN satu lawan satu.”

Ditanya sama ada Bersatu sedia bekerjasama dengan PKR dan Amanah dalam Pakatan Harapan, beliau tidak menjawab secara jelas, sebaliknya memaklumkan pendirian parti itu sejak dulu mengamalkan sikap terbuka untuk menjalin kerjasama dalam apa jua bentuk.

“Persefahaman ini penting untuk mengelakkan perpecahan undi sebagaimana yang kita saksikan berlaku di PRN Melaka dan Johor.”

Jumaat lalu, Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, gabungan itu sedia berunding dengan mana-mana parti untuk bekerjasama dalam menghadapi PRU15.

DAP sebelum ini menolak kerjasama dengan Muhyiddin kerana bekas perdana menteri itu menjadi antara penggerak Langkah Sheraton yang menyebabkan kerajaan PH tumbang.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu pula dilaporkan berkata, pendekatan “khemah besar” PH tidak termasuk Bersatu dan PAS kerana gabungan itu tidak mungkin bekerjasama dengan pengkhianat yang jelas mengkhianati amanah serta mandat rakyat.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub kemudian menggesa kepimpinan PH tidak terus menutup ruang perbincangan dengan semua parti politik blok pembangkang menjelang PRU15, termasuk PAS dan Bersatu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.