Pandu melulu hingga 4 maut, pemandu bas persiaran mengaku tak salah

Pandu melulu hingga 4 maut, pemandu bas persiaran mengaku tak salah

Tertuduh, Zamry Pon, 50, boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

pemandu bas
Mahkamah Majistret Rompin membenarkan tertuduh Zamry Pon diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.  (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu bas persiaran didakwa di Mahkamah Majistret Rompin atas tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan empat orang maut dalam nahas di Jalan Kuantan-Segamat dekat Muadzam Shah, 9 Jun lalu.

Tertuduh, Zamry Pon, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Majistret Melody Woon Sze Mun, menurut Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian Hasnatul Adilah Hassan, 49; Hadi Ashraf Mad Idris, 29; Hamzah Ahmad, 60, dan Dahlia Ahmad, 52, di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat kira-kira 12.30 tengah malam, 9 Jun lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Asyikin Hashim yang mengendalikan pendakwaan, memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Denial Khairul Hizam merayu jumlah itu dikurangkan kerana tidak lagi bekerja dengan alasan tidak lagi bekerja kerana masih perlu menjalani rawatan akibat kemalangan itu.

Woon membenarkan rayuan itu dan menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin selain kes akan disebut semula pada 16 Ogos.

Dalam kejadian itu, bas yang membawa 39 orang dalam perjalanan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram di Masjid Tanah, Melaka menuju ke Terengganu, bertembung dengan sebuah treler di simpang Bahau.

Mereka yang terbunuh dalam nahas itu terdiri daripada dua guru SK Jeram iaitu Hasnatul dan Dahlia, Hamzah adalah pembantu operasi sekolah, manakala Hasi Asyraf pula pemandu kedua bas persiaran terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.