Bersatu mohon batal saman Suhaili

Bersatu mohon batal saman Suhaili

Bersatu mendakwa Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman tidak mempunyai locus standi membawa tindakan itu kerana beliau bukan lagi ahli.

Suhaili Abdul Rahma
Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman memfailkan saman terhadap Bersatu bagi menuntut pengisytiharan pemecatan keahliannya daripada parti tidak sah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bersatu memohon untuk membatalkan saman Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman yang menuntut pengisytiharan bahawa pemecatan keahliannya daripada parti itu tidak sah dan menyalahi undang-undang.

Bersatu menerusi Muhammad Suhaimi Yahya selaku defendan memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui Tetuan Chetan Jethwani & Company semalam.

Parti itu mendakwa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan perkara pokok yang dibawa oleh Suhaili, 63, selaku plaintif menurut Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.

Bersatu juga mendakwa Suhaili tidak mempunyai locus standi untuk membawa tindakan tersebut terhadap parti itu kerana beliau bukan lagi.

“Tuntutan plaintif adalah mengaibkan, remeh dan menyusahkan serta suatu penyalahgunaan proses mahkamah untuk mencapai suatu motif tersembunyi,” kata Bersatu dalam permohonan itu.

Suhaili, yang memfailkan saman itu pada 1 Julai lalu, berkata pada 2 Nov 2023, Lembaga Disiplin Bersatu mengemukakan surat memaklumkan pertuduhan dibuat terhadap beliau atas dakwaan melanggar Artikel 22.1 (f) perlembagaan parti itu.

Beliau berkata, surat itu memaklumkan bahawa satu laporan telah dibuat berhubung kenyataan akhbarnya yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Suhaili berkata, pada 3 Nov 2023 beliau menulis surat kepada Lembaga Disiplin Bersatu bagi menjelaskan bahawa kenyataan itu dibuat kerana kegagalan parti itu menyediakan dana untuk membantu rakyat di Labuan.

Beliau mendakwa, walaupun memberikan penjelasan munasabah, Lembaga Disiplin secara salah di sisi undang-undang dan tidak rasional memutuskan untuk menggantung keahliannya selama enam tahun pada 7 Nov 2023.

Susulan itu, Suhaili berkata beliau menyaman parti itu melalui Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 19 Dis 2023 namun kes tersebut dibatalkan selepas mahkamah berkenaan memutuskan ia perlu difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya.

Pada 17 Mei lalu, Suhaili mendakwa menerima surat daripada setiausaha agung memaklumkan bahawa beliau dipecat secara automatik atas alasan memfailkan saman terhadap parti berdasarkan Artikel 10.2.6 Perlembagaan Bersatu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.