3 anggota PGA ditahan disyaki terlibat samun bersenjata

3 anggota PGA ditahan disyaki terlibat samun bersenjata

Dua suspek ditahan di Kem Batalion 19 PGA Cheras malam tadi, manakala seorang lagi anggota batalion sama menyerah diri hari ini.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian samun sebuah rumah di Jalan Sungai Pening, Kampung Pasir, Semenyih, pada tengah malam Rabu lepas. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Tiga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ditahan selepas disyaki terlibat kejadian samun bersenjata sebuah rumah di Semenyih semalam.

Tangkapan pertama melibatkan dua lelaki berusia 32 dan 35 tahun di Kem Batalion 19 PGA Cheras, Kuala Lumpur pada 12.20 tengah malam tadi, kata Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan.

Sementara itu, katanya, seorang lagi anggota PGA batalion sama berusia 24 tahun menyerah diri di IPD Kajang pada 1 tengah hari tadi bagi membantu siasatan.

“Polis mendapat perintah reman terhadap dua anggota PGA hingga 7 Ogos ini manakala permohonan reman terhadap seorang lagi suspek akan dibuat esok,” katanya, lapor Bernama.

Hussein berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian samun sebuah rumah di Jalan Sungai Pening, Kampung Pasir, pada 12.17 tengah malam Rabu.

Difahamkan beberapa das tembakan dilepaskan oleh dua anggota PGA berkenaan ketika melakukan jenayah itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.