PTPTN lanjut kempen struktur pinjaman serendah RM300

PTPTN lanjut kempen struktur pinjaman serendah RM300

Ia adalah inisiatif khas bagi menggalakkan dan memberi sokongan kepada peminjam yang mempunyai tunggakan menyelesaikan pinjaman dengan bayaran awal serendah RM300.

ptptn
Kempen terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang mempunyai tunggakan sama ada pinjaman konvensional atau ujrah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melanjutkan ‘Kempen Strukturkan Pinjaman Anda Serendah RM300’ hingga 30 Sept.

Pengerusi PTPTN, Norliza Abdul Rahim, berkata kempen itu adalah inisiatif khas diwujudkan bagi menggalakkan dan memberi sokongan kepada peminjam yang mempunyai tunggakan menyelesaikan pinjaman dengan bayaran awal serendah RM300.

“Kempen ini terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang mempunyai tunggakan dalam tempoh kempen, sama ada pinjaman konvensional atau ujrah.

“Peminjam yang mempunyai tunggakan perlu membuat bayaran tunggakan serendah RM300 sahaja untuk penstrukturan semula pinjaman dan diwajibkan untuk membuat potongan gaji atau debit terus sebagai kaedah bayaran balik,” katanya dalam kenyataan.

Norliza Abdul Rahim
Norliza Abdul Rahim.

Penstrukturan semula itu juga memberi kemudahan kepada peminjam untuk mengubah struktur jadual bayaran balik dan menetapkan ansuran bulanan berdasarkan kemampuan peminjam bagi memastikan mereka dapat membuat bayaran balik secara konsisten dan teratur.

Norliza berkata, selain penstrukturan, peminjam juga boleh membuat rundingan bayaran balik yang lain seperti pertukaran ujrah, penggabungan pinjaman dan penjadualan semasa tempoh kempen ini.

“Tujuan pelanjutan tempoh kempen ini adalah untuk memberi peluang kepada peminjam membuat rundingan bayaran balik dan membantu peminjam merancang semula ansuran bayaran balik demi mencapai ‘zero’ tunggakan.

“Tempoh pelanjutan ini juga adalah selaras pelaksanaan ‘Kempen myPTPTN Mudah, Cepat & Selamat’ yang sedang berlangsung,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.