
Menurut dokumen mahkamah dilihat oleh majalah hiburan Amerika Syarikat, Variety, Future Sounds Asia (FSA) menuntut RM11.25 juta berikutan penamatan awal festival itu, kesan daripada tindakan Healy.
Pihak penganjur mendakwa The 1975 dan pengurusannya sedar beberapa had dikenakan atas persembahan mereka di Malaysia.
Pemfailan itu juga menyatakan, kumpulan tersebut pernah membuat persembahan di festival berkenaan pada 2016 dan dimaklumkan larangan pada masa itu.
Festival yang sepatutnya berlangsung dari 21 hingga 23 Julai tahun lalu bagaimanapun ditamatkan lebih awal selepas Healy mengkritik undang-undang Malaysia berhubung LGBT, sebelum mencium rakan kumpulan lelakinya, pada hari pertama acara itu.
Tahun lalu, kumpulan tersebut menerima notis tujuh hari melibatkan ganti rugi RM12.2 juta kerana didakwa melanggar kontrak selepas kerajaan membatalkan festival itu.
Menurut pemfailan itu, kumpulan berkenaan didakwa melanggar garis panduan ditetapkan Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).
Katanya, Puspal pada mulanya menolak permohonan persembahan kumpulan itu, mengambil kira artikel berkait ketagihan dadah Healy, namun meluluskannya selepas kumpulan tersebut berjanji mematuhi ‘semua garis panduan dan peraturan tempatan’.
Saman itu juga mendakwa The 1975 menggunakan ‘senarai set yang sama sekali berbeza’ dan bertindak dengan cara bertujuan melanggar garis panduan, termasuk penggunaan alkohol di atas pentas.
Katanya, Healy didakwa bertindak agresif terhadap pegawai Puspal apabila mereka mengarahkan kumpulan muzik itu menghentikan persembahan.
Tambahnya, The 1975 dan pihak pengurusannya segera meninggalkan Malaysia selepas insiden tersebut, selepas menyedari mereka melanggar undang-undang tempatan.
Lesen festival itu kemudian ditarik balik membawa kepada pembatalan acara berbaki dua hari lagi, yang mana turut dijadualkan persembahan kumpulan muzik lain seperti The Strokes.
Ketika dihubungi, David Mathew, yang mewakili FSA selaku peguam memberitahu FMT, dokumen mahkamah difailkan pada 23 Julai di Mahkamah Tinggi London.
Defendan perlu memfailkan pembelaan sebelum 19 Sept, tambahnya.