
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, penduduk warganegara meningkat daripada 30.4 juta tahun lepas kepada 30.7 juta tahun ini dengan kadar pertumbuhan lebih perlahan, iaitu 0.7% berbanding 0.8% pada tahun sebelumnya.
“Penduduk bukan warganegara menunjukkan trend yang sama dengan kadar pertumbuhan lebih perlahan, iaitu 13.6% pada 2024 berbanding 17.1% pada 2023,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, tiga negeri yang mencatatkan peratusan komposisi penduduk tertinggi tahun ini ialah Selangor dengan 21.6%, diikuti Johor (12.3%) dan Sabah (11.0%); namun Labuan dan Putrajaya mencatatkan peratusan komposisi penduduk terendah, masing-masing 0.3% dan 0.4%.
Komposisi penduduk berusia 0 hingga 14 tahun (umur muda) tahun ini pula menurun kepada 22.2% berbanding 22.7% tahun lepas.
Mohd Uzir berkata, komposisi penduduk berusia 15 hingga 64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 69.9% tahun lepas kepada 70.1% tahun ini, manakala peratusan penduduk berusia 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 7.4% kepada 7.7% bagi tempoh sama.
Golongan Bumiputera menyumbang 70.4% daripada 30.7 juta warganegara pada 2024, namun komposisi kaum Cina dan India masing-masing menurun kepada 22.4% dan 6.5%, manakala lain-lain kekal pada 0.7%.
Tahun lepas, peratusan golongan Bumiputera adalah 70.1%, kaum Cina (22.6%) dan India (6.6%).
Dari segi nisbah jantina, beliau berkata, bilangan lelaki melebihi wanita iaitu masing-masing 17.9 juta dan 16.2 juta tahun ini, dengan nisbah jantina bagi keseluruhan penduduk adalah 111 lelaki bagi setiap 100 wanita.
“Secara keseluruhan, kesemua negeri di Malaysia mencatatkan bilangan lelaki melebihi wanita, kecuali Perlis (nisbah 99:100) dan Putrajaya (98:100),” katanya.
Negeri yang mencatatkan nisbah bilangan lelaki lebih tinggi ialah Kuala Lumpur dengan 117 lelaki bagi setiap 100 wanita, diikuti oleh Johor (116), Selangor (115) dan Pahang (114).