
Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata pengerusi PN itu tidak wajar berdiam diri ketika semua pihak melihat Muhyiddin sebagai pemimpin yang memegang kunci kestabilan dalam mengikat parti-parti dalam gabungan itu.
Malah, Ariff berkata tindakan membisu bekas perdana menteri itu dikhuatiri memakan diri dan menjejaskan peluang calon PN dari Bersatu, Mohd Rizwadi Ismail pada PRK Nenggiri 17 Ogos ini.
“Muhyiddin perlu bertindak segera menjadi pendamai kerana krisis ini akan menguji kepimpinan beliau sebagai seorang figura yang dominan dalam PN.
“Lebih-lebih lagi apabila PN akan menghadapi PRK Nenggiri tidak lama lagi, tindakan berdiam ini akan dipersoalkan oleh akar umbi akan hala tuju sebenar PN,” katanya kepada FMT.
“Jadi jalan terbaik adalah memanggil wakil dari PAS dan Gerakan untuk berbincang dan mencari semula titik persamaan.”
Dua rakan dalam PN itu saling berbalas kenyataan berhubung isu dana sekolah apabila Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari pada Ahad lalu, menyuarakan rasa ‘sangat kecewa’ terhadap Gerakan dan tidak menolak kemungkinan memutuskan hubungan berhubung sumbangan syarikat arak kepada sekolah Cina.
Ia susulan kenyataan Presiden Gerakan Dominic Lau sehari sebelum itu yang menegaskan Kementerian Pendidikan tidak seharusnya menyekat ‘syarikat tertentu’ menyumbang dana kepada sekolah Cina, sambil menegaskannya tidak mempengaruhi pelajar menjadi peminum tegar.
Dominic mengulas keputusan Jemaah Menteri mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah, antara lain menggariskan aktiviti sumbangan tidak boleh memapar serta mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah.
Bagaimanapun, Kabinet akan memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan melalui lembaga pengelola sekolah dan yayasan, seperti diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.
Kenyataan Fadhli itu kemudiannya disambut Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong yang menyatakan kesediaan parti itu keluar PN dan menegaskan usaha menyokong sekolah Cina mengumpul dana di sebalik ancaman sekutunya.
Bagaimanapun, dua penganalisis politik Azmi Hassan dan Lau Zhe Wei senada bahawa pertikaman lidah dua parti itu hanya sekadar ‘retorik politik’ dalam memancing simpati penyokong masing-masing.
“Gerakan perlu tunjuk berani ke depan untuk menarik simpati pengundi bukan Melayu manakala PAS berkeras demi mempertahankan suara penyokongnya… tak boleh ditunjukkan PAS tunduk pada Gerakan.
“Jadi kita lihat ini hanyalah sandiwara berbalas pantun dan percaturan politik untuk memberi persepsi kepada penyokong bahawa mereka mempertahankan ideologi masing-masing,” kata Azmi yang juga Felo Majlis Profesor Negara.
Lau dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata: “Mereka cuba pusing buat kenyataan yang tiada jawapan dan konteks.”
Azmi dan Lau juga sependapat Muhyiddin tidak perlu bersuara dalam konflik itu kerana ia hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.
“Muhyiddin perlu berdiam diri tak perlu campur tangan, kalau Muhyiddin campur tangan dia kena sebelah satu-satu pihak sama ada PAS atau Bersatu,” kata Azmi.
“Jika Muhyiddin bersuara, sudah pasti akan ada satu pihak terguris dengan kenyataannya… baik beliau membisu saja,” tambah Lau.