CelcomDigi kemuka cadangan laksana rangkaian 5G kedua kepada SKMM

CelcomDigi kemuka cadangan laksana rangkaian 5G kedua kepada SKMM

Cadangan itu mengutarakan komitmen syarikat itu membina rangkaian 5G maju dan mempercepat penggunaannya, kata CEO Idham Nawawi.

celcom digi
CelcomDigi yakin mampu melancarkan rangkaian 5G yang berpatutan, pantas dan cekap, dengan memanfaatkan rekod prestasi cemerlangnya lebih 30 tahun dalam pelaksanaan projek prasarana mudah alih.
KUALA LUMPUR:
CelcomDigi Bhd mengemukakan cadangannya untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua Malaysia kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Idham Nawawi berkata, cadangan itu mengutarakan komitmen CelcomDigi untuk membina rangkaian 5G maju dan mempercepat penggunaannya dalam kalangan pengguna dan perniagaan.

“Kami yakin bahawa kami telah mengemukakan kes yang kukuh untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua Malaysia – sama ada secara bersendirian atau bekerjasama dengan orang lain – untuk memastikan binaan ekosistem 5G yang berkembang maju untuk negara,” katanya dalam kenyataan.

CelcomDigi berkata, syarikat tersebut berupaya melancarkan rangkaian 5G yang berpatutan, pantas dan cekap, dengan memanfaatkan rekod prestasi cemerlangnya lebih 30 tahun dalam pelaksanaan projek prasarana mudah alih.

Syarikat itu yang mengendalikan rangkaian 4G paling luas dan moden di negara ini kini bersedia melancarkan rangkaian 5G bertaraf dunia bagi Malaysia, disokong oleh pasukan kejuruteraan yang sangat mahir, rantaian bekalan menyeluruh dan rangkaian menara serta rakan prasarana meluas.

Menjelang akhir tahun ini, lebih dua pertiga daripada rangkaian syarikat akan dimodenkan, menjadikannya sebagai rangkaian digital terbesar dan paling maju di negara ini.

Sebanyak 18,000 tapak rangkaian 5G sedia adanya akan membolehkan penggunaan teknologi 5G yang canggih, seterusnya menjadikan CelcomDigi salah satu rangkaian 5G maju terbesar di rantau ini.

Syarikat itu juga memanfaatkan ekosistemnya yang luas dan berkembang daripada rakan teknologi global serta tempatan, dan pemindahan pengetahuan daripada pemegang sahamnya Axiata dan Telenor untuk memacu inovasi penyelesaian teknologi baharu bagi pengguna dan perusahaan.

Selain itu, CelcomDigi juga baru-baru ini melancarkan Pusat Pengalaman CelcomDigi Ai (AIX) canggih, hub inovasi dan kolaborasi sehenti untuk meneraju, memberi inspirasi, dan menggerakkan penciptaan penyelesaian digital bertaraf dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.