Bekas pegawai anak syarikat SPNB bergelar Datuk antara 3 direman rasuah

Bekas pegawai anak syarikat SPNB bergelar Datuk antara 3 direman rasuah

Tiga suspek bersama seorang lagi individu dipercayai menerima rasuah daripada sebuah syarikat pembinaan membabitkan projek perumahan hampir RM110 juta.

sprm
Tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman semalam.  (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Tiga lelaki termasuk seorang bekas pegawai sebuah anak syarikat milik penuh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bergelar Datuk direman lima hari kerana dipercayai menerima rasuah membabitkan projek perumahan di Pahang hampir RM110 juta.

Majistret Irza Zulaikha Burhanuddin mengeluarkan perintah reman bermula semalam hingga 3 Ogos ini bagi semua suspek berusia 40 hingga 60-an itu susulan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya semalam.

Sumber SPRM berkata, tiga suspek bersama seorang lagi individu dipercayai menerima rasuah daripada sebuah syarikat pembinaan sebagai balasan menandatangani perjanjian pembangunan tambahan (SDA) membabitkan Projek Pembangunan Perumahan Rumah Aspirasi Rakyat Daerah Kuantan tanpa kelulusan lembaga pengarah SPNB.

“Perjanjian yang ditandatangani ini dipercayai mengandungi klausa berat sebelah sehingga menyebabkan SPNB menanggung kerugian mencecah puluhan juta ringgit,” katanya.

Menurutnya, semua suspek ditahan ketika hadir di ibu pejabat SPRM kira-kira 6.30 hingga 7 malam Isnin lalu, tetapi seorang daripadanya dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas memberi keterangan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim mengesahkan tangkapan tiga suspek untuk disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.