Badrulamin lepas, bebas tuduhan amang seksual kanak-kanak

Badrulamin lepas, bebas tuduhan amang seksual kanak-kanak

Hakim Mahkamah Sesyen membuat keputusan itu selepas memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap penceramah bebas itu.

Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu melepas dan membebaskan penceramah Badrulamin Bahron selepas memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu melepas dan membebaskan penceramah bebas Badrulamin Bahron atas tiga tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan, dua tahun lalu.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli membuat keputusan itu selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Badrulamin, 63, di akhir kes pendakwaan, lapor Harian Metro.

Zul Zakiqudin dalam penghakimannya berkata selepas mendengar dan mempertimbangkan keterangan saksi pendakwaan mendapati keterangan mangsa secara keseluruhannya tidak berkredibiliti, tidak konsisten.

Katanya, tiada juga keterangan sokongan yang kukuh untuk mengaitkan tertuduh dalam kes itu.

Beliau kemudian memutuskan tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan sebanyak RM20,000 dikembalikan semula kepada tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Azali Ibrahim dan Zulkifli Che Yong.

Pada November 2022, Badrulamin mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang berusia lima tahun ketika kejadian.

Badrulamin didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah bot di Hulu Terengganu antara 4 hingga 6 Mac 2022.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.