Kenyataan jejas hubungan, Pemuda Gerakan tuntut jawapan Oh

Kenyataan jejas hubungan, Pemuda Gerakan tuntut jawapan Oh

Setiausaha Agung Pemuda Andy Tan berkata kenyataan Gerakan tidak teragak-agak keluar PN amat serius dan menjejaskan hubungan parti komponen.

Setiausaha Agung Pemuda Gerakan Andy Tan mempersoalkan adakah kenyataan itu pendirian parti memandangkan Oh Tong Keong timbalan presiden.
PETALING JAYA:
Pemuda Gerakan menuntut jawapan Timbalan Presiden Oh Tong Keong berhubung kenyataan parti itu tidak teragak-agak keluar Perikatan Nasional (PN) susulan pendirian sekutunya berkait dana sekolah Cina.

Setiausaha Agung Pemuda Gerakan, Andy Tan, berkata kenyataan Oh amat serius dan menjejaskan hubungan antara parti komponen PN.

“Kami yang berada di peringkat akar umbi hari-hari berurusan dengan ahli dari parti komponen. Pihak Bersatu dan PAS menyoal tentang kesahihan dan hala tuju parti kita. Saya berharap persoalan saya ini dijawab,” katanya di Facebook.

Pada 28 Julai lalu, selain memberi amaran keluar PN, Oh turut berkata Gerakan kekal teguh menyokong dan mempertahankan usaha sekolah Cina mengumpul dana walaupun terdapat ancaman tidak munasabah daripada sekutunya dalam gabungan itu.

Menyusuli kenyataan itu, Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah berkata pihaknya tiada halangan jika Gerakan ambil keputusan keluar PN kerana setiap parti ada hak dan pendirian.

Mengulas lanjut, Andy turut mempersoalkan adakah kenyataan itu pendirian parti memandangkan Oh adalah timbalan presiden yang dilihat mempunyai kepentingan.

Namun, katanya di pihak parti tidak pernah memberi sebarang isyarat mengenai perkara itu.

“Walaupun saya amat tidak bersetuju, tetapi sekiranya ini keputusan parti, saya akan akur dan menerimanya. Tetapi jika bukan, saya berharap persoalan saya mendapat jawapan iaitu adakah ini keputusan parti atau tidak,” katanya.

Andy juga mempersoalkan sama ada Oh membawa perkara itu ke mesyuarat PN memandangkan beliau adalah ahli dalam majlis sambil menambah ahli parti yang lain turut terkilan dengan kenyataan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.