Cerita rekaan, polis nafi remaja diculik di Bukit Tiram

Cerita rekaan, polis nafi remaja diculik di Bukit Tiram

Polis berkata kejadian itu tidak berlaku sebaliknya hanya rekaan remaja yang didakwa cuba diculik untuk menarik perhatian ibunya.

sohaimi
Ketua Polis Seri Alam Mohd Sohaimi Ishak berkata kejadian culik didakwa membabitkan seorang remaja 13 tahun di Bukit Tiram tidak berlaku seperti yang tular di media sosial. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Polis menafikan berlakunya kes cubaan menculik seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di depan sebuah restoran makanan segera di Bukit Tiram di sini pada 3 Jun lepas seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 49 tahun kelmarin selepas anaknya mendakwa cuba dilarikan oleh individu tidak dikenali yang menaiki van putih ketika pulang dari sekolah sekitar 6.45 petang.

“Kejadian yang dilaporkan tidak berlaku sebaliknya hanya rekaan remaja tersebut untuk menarik perhatian pengadu setelah ditegur lewat menaiki van sekolah semasa pulang dari sekolah,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Justeru itu, beliau mengingatkan ibu bapa agar sentiasa memberikan perhatian dan mengawasi pergerakan anak-anak di luar atau di dalam rumah manakala orang ramai dinasihat tidak mudah panik atau membuat sebarang spekulasi terhadap sesuatu berita tanpa kesahihan sehingga boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Terdahulu, tular di media sosial laporan polis berhubung kes cubaan menculik itu dengan hantaran yang memohon ibu bapa dan pemandu van sekolah supaya sentiasa peka dengan keselamatan anak-anak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.