
Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (JSJD) dan IPD Keningau pada jam 9.30 malam.
Ketua Polis Keningau, Yampil Anak Garai, berkata sebelum kejadian itu, kakitangan penjara menghantar tujuh banduan termasuk suspek ke Mahkamah Keningau.
Katanya, sebaik hukuman enam bulan penjara dibacakan atas pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, suspek secara tiba-tiba melompat keluar dari kandang tertuduh.
“Dia kemudian menolak tingkap kaca dan melompat dari tingkat dua sehingga ke atas bumbung garaj setinggi kira-kira dua meter dan melompat lagi dari bumbung garaj setinggi empat meter dan terus berlari menghala ke pagar kawasan mahkamah sejauh 70 meter.
“Suspek kemudian memanjat keluar pagar tersebut dan terus menghala ke jalan raya utama berhampiran Bulatan Rusa, Pekan Keningau,” katanya, menurut Sinar Harian.
Yampil berkata, suspek bertindak menghilangkan diri dan gagal dikesan.
Bagaimanapun katanya, bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek yang bersembunyi dalam reban ayam di kawasan perumahan kuarters kerajaan, Keningau.
“Suspek dibawa balik ke IPD Keningau untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan,” katanya.