
Hakim Kamarudin Kamsun mendapati Chow Sian Poh, 65, bersalah setelah pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesnya, dan memerintahkan warga emas itu dipenjara mulai hari ini.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Hermes Media Putra Ibrahim, yang mewakili Chow selaku peguam, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan menaikkan jumlah jaminan daripada RM20,000 kepada RM50,000.
Chow didakwa menerima wang deposit RM130,350.07 daripada pengarah syarikat komputer, Siaw Hum Kiow, 63, tanpa lesen sah bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 di sebuah bank di Cheras antara 18 Julai dan 31 Julai 2014.
Dia didakwa mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM50 juta, atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, tertuduh berjumpa Siaw sekitar April atau Mei 2014 dan mempelawa mangsa yang dikenalinya sejak 15 tahun lepas itu melabur dalam saham yang tersenarai di pasaran London, diuruskan oleh seorang ahli perniagaan berjaya yang memiliki kasino di Pulau Jeju, Korea Selatan.
Siaw yang tertarik dengan tawaran itu membuat empat pindahan wang ke akaun yang ditetapkan oleh tertuduh dan menerima sijil pemilikan saham namun mangsa tidak mendapat sebarang pulangan berhubung pelaburan itu.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azhan, lapor Bernama.
Seramai tujuh saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh memberi keterangan ketika kes itu dibicarakan.