
Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata PN memerlukan Gerakan untuk menonjolkan gabungan itu mewakili semua kaum, walaupun hakikatnya rakan dalam PN itu tidak mampu menyumbang banyak dalam menarik sokongan bukan Melayu.
“Kalau PN ekstrem nak tendang Gerakan keluar, mudah saja sebab parti itu bukan membantu sangat…cumanya tu akan menjadikan imej PN lebih berhaluan kanan iaitu lebih konservatif.
“Di Malaysia (gabungan dengan imej itu) agak susah untuk bertahan,” katanya kepada FMT, mengulas perbezaan pendapat antara Gerakan dan PAS berhubung derma syarikat arak kepada sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC).
Lau percaya pendirian berbeza Gerakan dengan parti dalam PN tidak akan membawa kepada terkeluarnya parti diketuai Dominic Lau itu dari PN.
“Gerakan bersuara atau tidak, tak akan jejaskan sokongan bukan Melayu terhadap PN kerana masyakarat bukan Melayu sangat susah nak sokong mereka,” katanya.
“Tetapi secara politiknya, Gerakan yang didominasi bukan Melayu terutama masyarakat Cina memang kena bersuara… dia kena vokal untuk orang nampak parti itu masih wujud.”
Kelmarin, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari kecewa dengan pendirian Gerakan berhubung isu itu, sambil membayangkan tidak mustahil ikatan politik mereka boleh putus pada PRU16.
Kenyataan itu menyusul selepas Presiden Gerakan Dominic Lau berkata Kementerian Pendidikan tidak seharusnya menyekat ‘syarikat tertentu’ menyumbang dana kepada sekolah.
Menurutnya, langkah itu susulan kerajaan tidak memperuntuk dana mencukupi kepada semua jenis sekolah, sambil menegaskan ia tidak mempengaruhi pelajar menjadi peminum tegar.
Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan turut senada yang perselisihan pendapat itu tidak akan membawa kepada ‘terkeluarnya’ Gerakan daripada komponen PN.
Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) juga berdepan dengan situasi perbezaan pendapat termasuk dalam isu sama, namun gabungan itu tetap kekal bekerjasama.
“Isu ini membabitkan semua dan sebaiknya polemik ini diselesaikan dengan ketegasan Perdana Menteri Anwar untuk menoktahkan polemik terbabit.
“Jangan dibiarkan, kalau dibiarkan ia akan jadi isu politik yang pada awalnya ia hanyalah isu logik mengapa syarikat judi, arak tak boleh dikaitkan secara langsung dengan sistem pendidikan negara,” katanya.