
Dalam penghakiman ingkar pada 26 Julai, jumlah itu dituntut Siew kerana Lai, atau lebih dikenali ‘Mentos’ secara curang memperoleh wang berkenaan atas alasan bagi menjelaskan tunggakan cukainya.
Dalam saman difailkan awal tahun ini, Siew mendawa Lai melarikan dana itu yang disediakannya bagi menjelaskan bayaran cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Siew berkata, disebabkan tunggakan cukai tidak dibayar, dia terlepas empat acara di Australia kesan halangan perjalanan dikenakan LHDN.
“Ia mendukacitakan kerana saya tidak dapat melakukan perjalanan ke luar negara selama tiga bulan. Nasib baik, perkara ini dapat diselesaikan,” katanya.
Pada sidang media hari ini, peguamnya, K Mahendran berkata, syarat penyelesaian tidak dapat didedahkan atas nasihat LHDN.
Katanya, kedudukan Lai belum dapat dipastikan dengan tiada perkembangan lagi berkait kes penipuan dilaporkan kepada polis.
Mahendran berkata, keputusan Mahkamah Tinggi memihak kepada Siew memberikannya jumlah penuh yang dituntut, termasuk faedah dan bayaran guaman.
Katanya, saman diserahkan di alamat terakhir Lai yang diketahui di Lembah Klang, dan diiklankan di akhbar utama.
Sebelum ini, Siew mendakwa telah menyerahkan wang kepada Lai dalam beberapa ansuran, untuk digunakan bagi urusan dengan ejen cukai bagi menjelaskan tunggakan bayaran.
Menurut pemfailan mahkamah, Siew berdepan masalah selepas ditahan di KLIA pada 30 Dis 2023 kerana disenaraihitam LHDN kerana tidak membayar cukai.
Dia mendakwa insiden berkenaan menjejaskan reputasi sebagai personaliti media sosial dikenali dan penghibur, baik dalam negara dan antarabangsa.
Pasukan guaman Siew berhujah Lai mendalangi skim penipuan, mengarahkan Siew kekal berdiam diri ketika perbincangan menerusi Zoom dengan kononnya ejen cukai bernama ‘Jack’, dan beberapa pegawai LHDN.
Siew mendapati hutang cukainya kekal tidak dibayar walaupun sejumlah wang telah dikeluarkannya.