
Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan perbincangan lebih lanjut dilaksanakan bersama pelajar terbabit dari segi hala tuju mereka selepas ini.
“Kita akan tengok bagaimana kedudukan mereka ketika ini, apa pilihan mereka kalau nak sambung di dalam negara (atau tidak), tetapi bagaimanapun kita nak kena tengok dari segi kelayakan, kedudukan dan subjek yang mereka ambil dan sebagainya.
“Kita mahu mereka diberi kaunseling atau berjumpa dengan pegawai kita untuk kita mengetahui kedudukan mereka,” katanya selepas sesi libat urus sempena Persidangan Pemikiran dan Tamaduan Islam Sedunia (WCIT) 2024 di sini, semalam.
Ribuan pelajar di Bangladesh mengadakan demonstrasi sejak 1 Julai lepas ekoran keputusan mahkamah mengembalikan kuota pekerjaan awam yang dimansuhkan pada 2018 dan kesan daripada demonstrasi itu mengorbankan lebih 130 nyawa.
Susulan itu, 123 rakyat Malaysia, termasuk 80 pelajar dibawa pulang dari Bangladesh menerusi penerbangan khas atas arahan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 23 Julai lepas.
Mengenai WCIT 2024, Zambry berkata, persidangan itu diharap dapat menghasilkan resolusi dan formula dalam menangani isu global, terutama melibatkan keamanan dunia.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke persidangan itu hari ini dan dijadualkan turut dihadiri Anwar.
Dianggarkan lebih 1,000 peserta terdiri daripada ulama, pemimpin, intelektual, profesional dan masyarakat akan menghadiri persidangan itu hari ini hingga 31 Julai di Casuarina Meru, di sini.