Mahkamah Tinggi putus kematian pegawai kadet tentera laut homisid

Mahkamah Tinggi putus kematian pegawai kadet tentera laut homisid

Mahkamah mendapati J Soosaimanicckam dinafi mendapatkan rawatan perubatan menjurus kepada punca kematian pada 2018.

Mahkamah Tinggi menolak keputusan terbuka oleh Mahkamah Koroner atas alasan koroner terkhilaf tentang punca kematian J Soosaimanicckam tanpa pertimbang bukti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan kematian pegawai kadet tentera laut, J Soosaimanicckam sebagai homisid, sekali gus menolak dapatan keputusan terbuka oleh Mahkamah Koroner.

Hakim Abdul Wahab Mohamed, berkata pegawai tentera laut yang bertanggungjawab terhadap latihan kadet itu bertindak menafikan si mati daripada mendapatkan rawatan perubatan sehingga menjurus kepada punca kematian si mati.

“Mengambil kira semua bukti terhadap siasatan punca kematian (inkues), Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan terbuka koroner dan menggantikan dengan homisid.

“Punca kematian si mati adalah edema pulmonari yang disebabkan oleh leptospirosis (kencing tikus) dan bahawa kematian si mati yang tidak dijangka adalah akibat langsung daripada pegawai tentera laut yang bertanggungjawab untuk latihan kadet itu telah menafikan si mati daripada mendapatkan rawatan perubatan menurut Para (d) Amalan Ketua Hakim Negara Bilangan 2 dan mengikut Seksyen 337 Kanun Prosedur Jenayah untuk menentukan siapa yang secara jenayah terbabit dalam punca kematian,” katanya menurut Harian Metro.

Wahab berkata, koroner telah terkhilaf mengenai keputusan terbuka yang dibuat sebelum ini tentang punca kematian Soosaimanicckam tanpa mempertimbangkan bukti yang ada.

Sementara itu, peguam Zaid Malek yang mewakili keluarga Soosaimanicckam, berkata keluarga mendiang bersyukur dengan keputusan itu memandangkan mereka sudah berjuang mendapatkan keadilan bagi mendiang sejak enam tahun lalu.

“Kita bersyukur dengan keputusan hari ini apabila akhirnya ada pihak yang patut dipertanggungjawabkan sebagai punca kematian si mati,” katanya.

Turut hadir ke prosiding itu bapa mendiang, S Joseph, 71 dan abang mendiang, Charles Joseph, 38.

Pada 16 Jun tahun lalu, Mahkamah Sesyen yang bersidang sebagai Mahkamah Koroner memutuskan keputusan terbuka berhubung inkues bagi menentukan punca kematian pegawai kadet itu.

Koroner Ainul Shahrin Mohamad ketika itu memutuskan bahawa punca kematian Soosaimanicckam yang meninggal dunia semasa menjalani latihan sebagai pegawai kadet di KD Sultan Idris, Lumut pada 19 Mei 2018 adalah disebabkan edema pulmonari.

Ainul Shahrin dilapor berkata, menurut laporan, mendiang terbuang air besar ketika mandi, sebelum tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Angkatan Tentera Lumut sebelum disahkan meninggal dunia selepas itu.

Tentera laut dalam kenyataan media pada 20 Mei 2018 memaklumkan, Pegawai Kadet Graduan (PKG) itu mengadu sakit dada dan sesak nafas di blok penginapannya selepas selesai menjalani latihan fizikal yang juga rutin harian pelatih pada 12.20 tengah hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.