
Ketua Polis Pulau Pinang, Hamzah Ahmad, berkata lelaki tempatan itu berusia 44 tahun, manakala dua wanita warga Indonesia terbabit dalam lingkungan 20-an.
Beliau berkata, polis menemui pelbagai jenis dadah merangkumi eramin 5, ketamin, ekstasi dan methylenedioxy-methamphetamine (MDMA), selain barangan disyaki peralatan menghisap dadah.
“Kita turut merampas sepucuk pistol tiruan serta satu botol plastik mengandungi bebola plastik dan satu buku lima berbentuk pisau,” katanya menurut Sinar Harian.
Menurutnya, lelaki itu yang positif dadah mempunyai dua rekod kesalahan jenayah dan empat kesalahan dadah, manakala dua pembantu rumahnya bebas sebarang dadah serta tiada rekod jenayah lampau.
“Kedua-dua wanita itu juga memiliki dokumen perjalanan sah.”
Hamzah berkata, tiga suspek itu direman tujuh hari hingga 3 Ogos ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, suspek lelaki itu turut disiasat bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berjadual 1958.