
Menurut PTPTN, program yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri pada Jun 2011 itu ditambah baik tahun ini menerusi kerjasama bersama PTPTN sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap penduduk Pulau Pinang.
“Melalui kerjasama ini, berkuatkuasa pada 15 Jan (lepas), RM100 diberikan untuk pembukaan akaun atau penambahan deposit Simpan SSPN Prime dan RM100 disalurkan ke akaun bank pemohon yang layak,” katanya.
Menurut PTPTN, Simpan SSPN Prime ialah produk simpanan PTPTN yang menawarkan pelbagai manfaat dan kelebihan, termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun serta perlindungan takaful bagi pendeposit.
“(Kelebihan lain termasuk) Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, serta simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah,” katanya dalam kenyataan.
Kerajaan negeri bersama PTPTN akan menganjurkan Majlis Pelancaran Program Anak Emas di Mydin Bukit Mertajam pada Sabtu 3 Ogos.
PTPTN menyeru ibu bapa yang layak memohon agar mendaftar di kaunter promosi PTPTN ketika majlis pelancaran itu nanti.
Ketika diperkenalkan pada 2011, kerajaan negeri menerusi Program Anak Emas memberikan bantuan sekali beri berjumlah RM200 kepada bayi berusia 2 tahun ke bawah, dengan syarat salah seorang ibu bapanya pengundi di Pulau Pinang.